fbpx

Segalanya selamat di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah bot yang sering digunakan pelancong-pelancong ketika berkunjung ke Tasik Kenyir.

KUALA TERENGGANU – Destinasi Tasik Kenyir dijamin selamat dan boleh dikunjungi pelancong walaupun ketika tengkujuh ini malah tiada satu retakan dikesan pada empangan di situ yang menjadi tular baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, ­Ariffin Deraman berkata, tidak timbul isu kononnya Empangan Kenyir bakal pecah kerana struktur binaan itu amat kukuh.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) beri jaminan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (Empangan Kenyir) berada dalam keadaan kukuh dan selamat.

“Pemeriksaan syarikat utiliti berkenaan baru-baru ini tidak menjumpai sebarang rekahan walaupun kecil di setiap bahagian empangan berkenaan seperti didakwa dalam media sosial,” katanya di sini semalam.

Berita berkaitan: Batal tempahan rumah bot Tasik Kenyir kerana berita palsu

Kosmo! semalam melaporkan pengusaha rumah bot Tasik Kenyir mengeluh segelintir pe­langgan batalkan tempahan menyebabkan mereka mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Pembatalan itu berkait ­dengan penyebaran berita di media sosial pada minggu lalu ­kononnya Empangan Kenyir bakal pecah pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Ariffin berharap pelancong terutama dalam kalangan pemancing tidak perlu risau dan membatalkan hasrat untuk mengunjungi Tasik Kenyir.

Ujar beliau, kebiasaannya Tasik Kenyir menjadi tumpuan pemancing pada musim tengkujuh kerana populasi ikan yang me­ningkat pada masa itu.

“Saya ingin tegaskan berita tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial tersebut terbukti palsu malah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga telah memberi pencerahan.

“Individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu itu mengambil kesempatan daripada pelaksanaan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir anjuran Nadma baru-baru ini,” katanya.

Ariffin menegaskan latihan itu merupakan prosedur biasa dan kelaziman setiap tahun untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir.

Ujarnya, ia tidak bermakna Empangan Kenyir yang dibina di kawasan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ada masalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI