fbpx

Taman MRANTI sasar nilai pembangunan kasar RM20 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika melawat pameran pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad di ibu negara hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) melalui sebuah taman teknologi dan hab inovasi terunggul, Taman MRANTI bakal mencergaskan semula ekosistem teknologi Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Induk Taman MRANTI yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu inovasi, kemampanan alam sekitar dan budaya urban atau setempat.

Melalui pelan induk ini, anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) adalah sebanyak RM20 bilion dengan nilai pulangan pajakan tanah RM2.8 bilion oleh MRANTI kepada para pelabur.

“Dengan pelan induk baharu di Taman MRANTI ini, MRANTI akan memupuk keupayaan Malaysia dalam 4IR (teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh) dan teknologi yang sedang berkembang pesat daripada sistem IoT, perkhidmatan IP hujung ke hujung dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih,” kata ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan Penjenamaan Baharu MIMOS Berhad di sini hari ini.

Menurut beliau, Taman MRANTI bakal direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan ‘funnel’ yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

“Ia turut dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G; universiti atau institusi intensif penyelidikan; serta insentif dan peluang pembiayaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menganggarkan Taman MRANTI bakal menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu buat Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pelan Induk MRANTI memberikan tumpuan untuk menyusun semula sumber-sumber yang terletak dalam MRANTI dan memastikan langkah-langkah pembangunannya akan turut memenuhi keperluan dan disokong oleh pihak berkaitan.

Pada masa sama, katanya, sejajar dengan pembaharuan yang bakal dibawa ke MRANTI, MIMOS juga akan diperkukuh dengan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pengkhususan semikonduktor, mikroelektronik dan teknologi komunikasi maklumat (ICT). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI