fbpx

Elak perbalahan mufti, agamawan secara awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor

SHAH ALAM – Semua perbalahan yang terjadi di antara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan awam yang hanya akan merendahkan kewibawaan ulama sendiri.

Sultan Selangor bertitah, perbezaan pendapat ulama ini hanya dibincangkan di dalam Muzakarah dan tidak dibawa keluar dari gelanggang Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Beta menasihatkan para Mufti yang berada di dalam dewan ini, untuk sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam, lebih-lebih lagi jika isu yang berbangkit telah kita putuskan secara bersama dalam ruang Muzakarah.

“Sepanjang tahun 2022, salah satu isu yang membangkitkan rasa dukacita Beta ialah perbalahan tentang keputusan Muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al-Haqqani.

“Isu ini tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana ia telah diputuskan secara konsensus oleh para Mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada tahun 2020 di Kuantan yang memutuskan selepas kajian semula Tarekat ini boleh diamalkan oleh pengikutnya,” titah baginda sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muazakarah MKI di Dewan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Justeru, Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI menjelaskan baginda menzahirkan titah pada 9 April lalu bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Muzakarah tahun 2020 yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada tahun lalu.

Titah Sultan Sharafuddin, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh Pengerusi Muzakarah.

“Tiada pihak lain termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh membuat kenyataan berkenaan.

“Ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur-unsur politik kepartian. Jakim hanya bertindak sebagai urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menegaskan Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum dan apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak-hak dan kepentingan rakyat negara ini yang bukan beragama Islam seperti dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuk yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan

“Jawatankuasa Muzakarah juga perlu merangka peraturan dan adab-adab perbezaan antara Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah. Sekiranya ada mufti atau ahli yang memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf di kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap ‘agree to disagree’ dan beradab dalam berbeza pendapat,” titah baginda. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI