DUA tahun lalu ketika pandemik Covid-19 sedang menular, kedua-dua vokalis kumpulan terkenal Indonesia Ian Kasela daripada kumpulan Radja dan Ruri Wantogia (Repvblik) pernah menarik perhatian ramai.
Ian yang cukup terkenal dengan imej berkaca mata hitam ketika membuat persembahan pentas mengakui kesukaran hidup masyarakat sekeliling ketika pandemik mencetuskan idea untuknya untuk melelong kaca mata kesayangannya.
Bukan untuk mengumpul dana peribadi, sebaliknya lelongan berkenaan dilakukan atas tujuan amal untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
“Waktu itu semua orang susah termasuk penggiat seni seperti saya. Jadi, jika ingin membantu orang dengan wang sendiri satu perkara yang tidak wajar kerana ketika itu pemuzik juga tiada kerja.
“Jadi, timbul idea untuk menjual kaca mata hitam kesayangan yang sudah berusia 20 tahun. Sasarannya saya mahu menjual jika ada yang membida sehingga 250 juta rupiah (RM76,000).
“Tetapi bidaan paling tinggi hanya berjumlah 119 juta rupiah (RM36,000). Ada juga pembida dari Malaysia yang mahu membeli dengan harga 85 juta rupiah (RM25,909).
“Jadi, sehingga kini kaca mata hitam tersebut masih belum terjual dan berada dalam simpanan saya.

13 November nanti.
Berjimat
“Jika mahu melelong pada masa sekarang sudah tidak ada keperluan, kebanyakan orang sudah mula kerja dan ekonomi semakin pulih,” ujar Ian.
Disoal bagaimana dia mengharungi detik sukar tanpa sebarang pekerjaan, jelas Ian sejak menjadi penyanyi dia seorang yang berjimat cermat dan mengurus kewangan sebaik mungkin.
“Sejujurnya, meski hanya satu tawaran pentas dalam tempoh sebulan ketika pandemik saya masih boleh hidup seperti biasa. Tiada sebarang perubahan dan kesukaran dialami.
“Sejak dahulu saya mengurus kewangan dengan cermat dan rajin menyimpan. Alhamdulillah, sepanjang pandemik saya tidak terjejas,” kata Ian lagi.
Ian juga sempat ditanya tentang keharmonian kumpulan Radja yang sebelum ini dikatakan pernah berpecah.
“Kami tidak pernah berpecah, boleh dianggap seperti berehat sahaja selama lima tahun. Sekarang, Radja kembali dan mengharapkan sokongan semua.
“Cuma buat masa ini, kami tidak akan keluarkan album baharu, sebaliknya single sahaja. Bukan tidak mahu, tetapi sukar untuk mendapat pulangan yang setimpal seperti waktu dahulu,” luah Ian.
Ian atau nama sebenarnya, Iandika Mulya Ramadhan, 48, juga sempat terjun ke dunia politik, bagaimanapun karier politiknya tidak sempat berkembang selepas tewas ketika bertanding dalam pilihan raya di Kalimantan Selatan pada 2019.
“Jika berpolitik bukan kerana wang tetapi amanah, itu bagus. Namun, saya sedar untuk menjadi ahli politik perlukan wang, jadi buat masa ini biarlah saya fokus terhadap muzik,” kongsi Ian.

Malu
Vokalis kumpulan Repvblik, Ruri Wantogia, 41, juga sempat berniaga sebagai penjual air kelapa kurma dan buah-buhan selama dua bulan ketika musim pandemik.
Sama seperti Ian, penyanyi lagu popular Selimut Tetangga itu membuang rasa malu dan berniaga di tepi jalan semata-mata mahu menjana pendapatan, selain berkongsi rezeki membantu orang sekelilingnya yang berada dalam kesusahan.
“Saya belajar kulinari dan mempunyai kebolehan memasak atau membuat minuman. Ketika pandemik rakan terdekat dan kru yang bekerja dengan Repvblik tiada pekerjaan.
“Saya buang rasa malu dan cuba berjualan air kelapa kurma serta buah-buahan untuk mengumpul dana buat mereka.
“Alhamdulillah sepanjang dua bulan berniaga, setiap hari akan mendapat sekitar RM300,” ujar Ruri berkongsi pengalamannya.
Pengalaman berjualan di tepi jalan itu kini hanya tinggal kenangan apabila jadual seni kumpulan Repvblik sudah padat sehingga hujung tahun.
“Selama dua tahun di rumah kerana pandemik tawaran persembahan hanya sebulan sekali. Sekarang sudah mula penuh dan saya bersyukur dengan rezekinya,” tutur Ruri.
Berbicara tentang perkembangan terbaharu kumpulan Repvblik, mereka bakal muncul dengan single terbaharu pada Oktober ini.
“Sebenarnya kami baru selesai menjalani penggambaran tiga buah video muzik di Bali, Indonesia.
“Insya-Allah jika tiada aral bulan depan akan muncul dengan single baharu,” kata Ruri yang juga seorang YouTuber terkenal.
Ditanya apakah rahsia di sebalik kejayaan lagu-lagu Repvblik yang menjadi malar segar sehingga ke hari ini, jawab Ruri ringkas, setiap karyanya dibikin dari hati dan cukup dekat dengan realiti kehidupan orang ramai.
“Setiap lagu Repvblik dibikin bersama-sama semua anggota kumpulan. Biasanya mendapat inspirasi daripada kisah percintaan sendiri, rakan-rakan dan peminat sendiri.
“Mungkin kerana itu, lagu-lagu Repvblik dekat dengan hati orang ramai kerana mereka mengalami sendiri kisah-kisah dalam lagu kami.
“Sampai hari ini ramai yang memberitahu lagu Repvblik seperti Selimut Tetangga dan Sandiwara Cinta merupakan lagu wajib ketika menyanyi di pusat karaoke termasuk di Malaysia.
“Sudah tentu saya gembira kerana lagu itu sudah lama, tetapi masih disukai sehingga hari ini,” ujar Ruri yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu.

Kongsi pentas
Buat julung kalinya bakal berkongsi pentas dalam sebuah konsert, kedua-dua kumpulan popular itu bakal menemui peminat di Malaysia menerusi konsert Radja Repvblik Live In Kuala Lumpur pada 13 November ini pukul 8.30 malam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagi Ian, berkongsi pentas bersama kumpulan Repvblik adalah satu sejarah kerana belum pernah dilakukan dalam mana-mana persembahan termasuk di Indonesia.
“Belum pernah terjadi sepanjang sejarah karier seni kami Radja dan Repvblik berkongsi satu pentas.
“Ini bukanlah permintaan saya, sebaliknya pihak penganjur.
“Berkemungkinan kami akan berduet dalam beberapa lagu, namun semua masih dalam peringkat perbincangan.
“Apa yang pasti konsert tersebut akan menjadi sebuah konsert nyanyian bersama dengan peminat,” ujar Ian.
Keterujaann yang sama turut dirasai oleh Ruri kerana konsert ini merupakan kunjungan sulung kumpulan Repvblik ke Kuala Lumpur sepanjang 18 tahun berkarier dalam bidang muzik.
“Sebenarnya konsert ini merupakan persembahan pertama kumpulan Repvblik di Kuala Lumpur.
“Kami pernah membuat persembahan di Kota Kinabalu, Sabah sekitar 2015, tetapi belum pernah ke Kuala Lumpur.
“Bagi kami konsert di Kuala Lumpur begitu besar ertinya dan kami mahu beri yang terbaik. Kami akan membawa sekitar 12 buah lagu dan bagi memberi kelainan mungkin susunan muziknya akan diubah.
“Bergandingan pula dengan kumpulan nama besar seperti Radja adalah satu penghormatan buat kami.
“Genre lagu Radja dan Repvblik lebih kurang sama, diharap gandingan istimewa kami akan menarik ramai peminat ke konsert,” luah Ruri.
Konsert Radja Repvblik Live In Kuala Lumpur dibawakan oleh Angkasa Mukmin Sdn. Bhd. Tiket-tiket berharga RM248 sehingga RM798 menerusi laman web, www.ilassotickets.com.















