fbpx

‘Bukan pengaruh bahan terlarang, Noh bersih!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERBUATAN Noh meludah adalah tindakan spontan akibat terkena renjatan elektrik pada bahagian mulutnya berikutan masalah teknikal

PETALING JAYA – “Noh ‘bersih’ dan tidak dipengaruhi bahan terlarang”.

Demikian penjelasan pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad susulan penularan video menunjukkan vokalis terbabit meludah ke arah penonton semasa menjayakan Konsert Hausboom Music 2022, Sabtu lalu.

Perbuatan meloyakan Noh dalam konsert yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Sabtu lalu mengundang padah, sehingga ada yang meminta pihak berkuasa menjalankan ujian air kencing terhadapnya.

Jelas Ahmad Ariffin hakikatnya perbuatan Noh adalah tindakan spontan akibat terkena renjatan elektrik pada mulut susulan masalah teknikal yang berlaku ketika persembahan.

Menurutnya juga, perbuatan meludah itu dilakukan di hujung pentas yang tiada penonton.

“Ketika itu Noh sudah dalam pertengahan persembahan membawakan lagu kelima. Dalam keadaan panas dan berpeluh, tiba-tiba katanya dia terasa sedikit renjatan elektrik hingga bibir kebas.

“Bagi mengurangkan rasa kurang selesa, secara spontan, Noh yang berada di hujung pentas terpaksa meludah ke arah sudut yang tiada penonton.

“Cuma apabila orang merakam dari tepi, nampak seperti dia meludah penonton. Walhal jarak antara pentas dan penonton juga agak jauh dan dipisahkan besi penghadang.

“Kami harap tiada spekulasi yang menganggap tindakan tersebut disebabkan bahan terlarang. Noh ‘bersih’, itu saya yakin 100 peratus.

“Mungkin sebab rambutnya kelihatan tidak terurus, tetapi dalam keadaan panas berkurung di dewan yang dipenuhi 13,000 penonton, tentu saja susah nak maintain elok,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, Ahmad Ariffin meminta maaf sekiranya ada penonton yang terkena ludahan dalam insiden tidak disengajakan itu.

Akuinya, Noh juga sudah maklum mengenai penularan video pendek berkenaan selain akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Selepas konsert berakhir kami sibuk mengemas peralatan untuk terus keluar dari kawasan tersebut bagi mengelak kesesakan.

“Hanya pada keesokan hari (semalam) kami berbual mengenai peristiwa dia terkena renjatan. Walaupun tidak teruk, impak terkejut dan kebas tetap dirasainya ketika itu.

“Tak terfikir pula insiden tersebut mengundang salah faham hanya disebabkan dirakam dari sudut tepi. Apa pun perkara yang berlaku ini jadi peringatan,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan Noh masih berada dalam keadaan tertekan berikutan perceraian dengan Mizz Nina, ulas Ahmad Ariffin, perkara peribadi bukan dalam pengetahuannya mahupun anggota Hujan yang lain.

“Hal peribadi memang kami tidak pernah bincangkan, namun saya nampak dia sibuk dengan beberapa projek lain termasuk projek solo. Jadi semuanya macam biasa saja,” katanya lagi.

Selain Noh, Konsert Hausboom Music 2022 turut dirancakkan dengan persembahan kumpulan Wings, Masdo, Ruffedge dan Joe Flizzow.

Terdahulu, bekas suami aktivisis kemanusiaan Mizz Nina itu pernah mencetuskan kontroversi apabila muncul di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur sambil menyelitkan rokok dibibir hingga ditegur Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum itu dia juga dengan selamba menghisap rokok elektronik ketika diwawancara media dalam sebuah majlis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI