TORONTO – Penjaga gol Bosnia and Herzegovina, Nikola Vasilj memberi amaran kepada rakan sepasukan supaya kekal berwaspada menjelang aksi sulung Kumpulan B saingan Piala Dunia 2026 menentang Kanada di Stadium Toronto awal pagi esok.
Walaupun pasukan lawan kehilangan khidmat kapten, Alphonso Davies yang dibelenggu kecederaan, namun Vasilj menegaskan, Kanada masih merupakan pasukan berbahaya, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Menurut penjaga gol St. Pauli itu, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu berdepan Davies yang memiliki kepantasan cukup baik tetapi perlu berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan pasukan tuan rumah.
“Davies merupakan pemain yang sangat penting untuk Kanada, terutamanya jika kita mengambil kira prestasinya bersama Bayern Munich dalam saingan Bundesliga. Dia merupakan pemain yang sangat hebat.
“Ketiadaannya mungkin memberikan kami sedikit kelebihan tetapi tidak bermakna prestasi Kanada akan berbeza. Bagi saya, tidak ada sebarang perubahan dan kami masih perlu bermain seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Bosnia, Nikola Katic menganggap motivasi Kanada berada pada tahap paling tinggi ketika ini memandangkan ia merupakan kali pertama mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia.
“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar kerana kami bakal berdepan penyokong-penyokong tuan rumah. Kami sudah menonton rakaman perlawanan Kanada dan mereka sangat agresif,” ujarnya. – AGENSI














