fbpx

[VIDEO] Azi alami tekanan emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azi memeluk ibunya, Zahasnah semasa tiba di rumah keluarga suaminya di Jalan Kelochor, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Seorang wanita ejen jualan kosmetik yang dibawa lari ke Thailand selama lebih dua minggu kini berada dalam keadaan selamat di rumah keluarga suaminya di Jalan Kelochor di sini hari ini.

Wanita yang dikenali sebagai Azi,36, itu tiba di rumah berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang dengan diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun terus menangis sambil memeluk bapanya, Mohd. Naim Awang,70 dan ibunya, Zahasnah Mohd. Zain, 61.

Azi dilihat memakai tudung berwarna merah jambu, baju lengan panjang berwarna biru gelap dan seluar hitam dilihat berada dalam keadaan sihat.

Menurut Muhamad Zaki, mangsa tiba di Kota Bharu awal pagi tadi dan memakai pakaian lain sebelum menukarnya untuk pulang ke rumah keluarga suami sebentar tadi.

Katanya, wanita itu kini berada dalam keadaan baik, namun mengalami tekanan emosi kerana dibawa lari dalam tempoh yang lama.

“Apa yang penting ketika ini adalah keselamatan mangsa dan kita berjaya membawa pulang wanita itu ke pangkuan keluarganya.

“Polis sudah berusaha keras untuk membawa mangsa pulang. Keselamatan wanita itu merupakan aspek penting buat masa ini apabila dia sudah berada di pangkuan keluarganya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga suami Azi di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, buat masa ini, pihaknya akan membiarkan mangsa bersama keluarganya terlebih dahulu dan polis tetap menjalankan siasatan bagi memantau perkembangan kes tersebut.

Katanya, kes menyelamat mangsa sudah selesai, namun masih ada kes lain yang boleh disiasat berhubung penculikan wanita itu.

“Kita tidak bercadang untuk meletakkan anggota polis untuk mengawal mangsa dan segala keputusan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Tambahnya, empat daripada tujuh suspek dalam kes itu masih ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI