SEREMBAN – Faktor suka-suka dan pengaruh rakan dikenal pasti menjadi punca utama golongan muda terbabit dalam kegiatan lumba haram serta aksi mat rempit di beberapa lokasi hotspot sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, hasil pemantauan pihak polis mendapati kebanyakan individu terbabit tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan aktiviti itu sebagai hiburan bersama rakan-rakan.
“Puncanya lebih kepada suka-suka, ikut kawan-kawan dan ada yang tiada kerja. Ada juga sedikit imbuhan jika menang, sekitar RM100 hingga RM200 dan perkara itu akan disiasat lebih mendalam,” katanya ketika mengulas kegiatan lumba haram dan mat rempit yang sering berlaku di kawasan hotspot termasuk di Senawang.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering dijadikan tempat perlumbaan haram terutama di laluan lebuh raya dan jalan lurus yang kurang kenderaan.
Beliau berkata, aksi berbahaya seperti gaya ‘superman’ masih dikesan namun setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan wujud penganjur besar atau wanita dijadikan imbuhan dalam perlumbaan haram di daerah itu.
Terdahulu, Mohd Yatim menerima serah terima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Seremban baharu bagi menggantikan Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim yang bersara wajib disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.- KOSMO! ONLINE














