HENDAK ditelan mati emak, hendak diluah mati bapa. Itu perasaan dialami oleh Syafikah (bukan nama sebenar) selepas terpaksa memendam rasa dan ‘memejamkan’ matanya melihat perangai kurang menyenangkan adik ipar lelakinya.
Sebagai wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengharapkan dapat menjalani kehidupan bahagia bersama keluarga tercinta.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan anak kelahiran sebuah negeri di Utara tanah air itu tidak kesampaian apabila berkongsi hidup sebumbung dengan adik iparnya.
Apa yang membuatkan wanita ini tertekan apabila dia terpaksa menampung perbelanjaan adik iparnya itu.
Selain itu, dia hanya mampu melihat rakan-rakan adik iparnya datang melepak di kediamannya.
Bercerita lanjut, Syafikah berkata, adik iparnya mula menumpang di kediamannya dan suami pada awal Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lalu atas alasan memudahkan dirinya untuk mendapatkan akses internet bagi tujuan pembelajaran.
“Pada waktu itu, dia masih lagi menuntut di tahun kedua sebuah universiti awam. Disebabkan kediaman ibu dan bapa mertua di kampung tidak mempunyai akses internet yang baik, saya dengan rela hati menawarkan tempat sementara untuknya dalam kediaman kami.
“Sangka saya, tempoh menginap tidak lama memandangkan pada waktu itu, dia hanya mempunyai setahun sahaja sebelum menamatkan pengajian,” katanya.
Berkongsi lanjut, menurut arkitek landskap itu lagi, pada awalnya semuanya berjalan dengan lancar. Bahkan dia langsung tidak mempunyai masalah dengan adik iparnya yang dikenali sebagai Luqman itu.
Biarpun mengetahui Luqman membuat pinjaman pelajaran dan dia tidak perlu menampung wang poketnya, namun kerana kasihan, Syafikah bermurah hati memberinya wang saku setiap bulan.
Baginya, tiada salahnya untuk berkongsi rezeki dengan ahli keluarga sendiri. Tanpa disangkanya, tindakannya itu hanya mendatangkan nasib malang buat dirinya apabila Luqman mula naik lemak.
Apabila keluar berjalan, Luqman sudah berani meminta Syafiqah untuk membayarkan kasut dan baju-baju baharu.
Bukan itu sahaja, Syafiqah malahan terpaksa membayar bil telefon Luqman kerana ia dipotong selepas beberapa bulan tertunggak.
“Suami pernah menegur sebelum ini supaya jangan beri muka kepada adiknya. Tetapi saya tidak mendengar nasihatnya kerana mahu melayan Luqman sama seperti adik sendiri.
“Saya tidak sangka pula, teguran tersebut untuk kebaikan saya sendiri. Ternyata, suami lebih mengenali adiknya sendiri.
“Saya mula mempersoalkan ke mana pergi wang pinjaman pelajaran dan duit kocek yang saya berikan setiap bulan,” luahnya.
Tidak mahu memanjangkan cerita, Syafiqah hanya mampu bersabar dan mengira detik-detik adik lelakinya itu meninggalkan kediaman mereka sebaik tamat pengajian.

SUDAHLAH menumpang, Luqman tidak pandai menjaga hati kakak iparnya apabila mengajak rakan-rakan melepak di rumah abangnya. – GAMBAR HIASAN
Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku. Sebaliknya Luqman terus menetap di situ dengan alasan mahu mencari peluang pekerjaan yang didakwa lebih cerah untuk diperoleh berbanding di kampung.
Bermula dari saat itu, pelbagai konflik lain mula timbul. Dakwa Syafiqah, sudahlah tidak berusaha untuk mencari pekerjaan, adiknya juga sering melepak pada tengah malam bersama rakan-rakan.
Bukan itu sahaja, dia juga sudah berani membawa pulang teman wanita ke kediaman mereka sewaktu Syafiqah dan suaminya keluar bekerja.
“Jiran saya yang melaporkan perkara ini. Saya memang tidak percaya kerana perwatakan Luqman yang sangat baik di sebalik sikapnya yang pemalas dan suka meminta-minta.
“Sehinggalah saya sendiri bertembung dengan mereka sewaktu pulang ke rumah atas urusan kecemasan. Terkejut saya apabila melihat seorang perempuan di ruang tamu.
“Nasib baik mereka tidak ditemui telanjang atau sebaliknya.
“Walaupun marah, tetapi saya masih mampu mengawal selepas Luqman mengatakan perempuan itu merupakan juniornya yang mahu mendapat tunjuk ajar bagi membuat tugasan kuliah,” jelasnya.
Biarpun begitu, Syafiqah bernasib baik kerana suaminya begitu memahami dirinya dan sentiasa berada di pihaknya.
Katanya, mereka ingin menceritakan hal sebenar kepada ibu dan bapa mertua, bagaimanapun bimbang jika keadaan bukan menjadi semakin pulih, sebaliknya keruh.
“Buat masa ini, kami masih lagi bersabar. Tetapi suami sudah mengarahkan saya untuk tidak sesekali memberi duit polet dengan harapan adiknya keluar bekerja.
“Mungkin dari situlah kami boleh berkeras dengannya supaya berpindah. Rindu pula untuk mempunyai privasi dan tidak perlu memakai tudung di rumah sendiri,” katanya.














