fbpx

PTPTN sasar RM150 juta deposit sempena BMS 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini ketika berucap pada pada Majlis Pelancaran BMS SSPN 2022 di Sunway Velocity, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mensasarkan sebanyak RM150 juta jumlah deposit Simpan SSPN sempena Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2022.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, sehingga 31 Ogos lalu, PTPTN telah merekodkan sebanyak RM12.81 bilion deposit Simpan SSPN dengan bilangan akaun berjumlah 5.5 juta.

Menurut Noraini, kejayaan tersebut sekali gus menunjukkan bahawa Keluarga Malaysia semakin cakna terhadap keperluan menabung untuk masa hadapan.

“Seiring dengan (BMS) SSPN 2022, bermula semalam sehingga 31 Oktober ini, PTPTN akan turun padang untuk berjumpa dengan orang ramai.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi literasi kewangan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran BMS SSPN 2022 di Sunway Velocity, di sini, hari ini.

Noraini berkata, pelbagai keistimewaan ditawarkan untuk manfaat Keluarga Malaysia menerusi Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Antaranya termasuklah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin Kerajaan.

“Malah, kedua-dua produk ini turut mempunyai perlindungan takaful ke atas pendeposit sebagai nilai tambah sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, buat julung kalinya, PTPTN turut menganjurkan Cabutan BMS 2022 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 peringkat nasional, dan juga hadiah berupa pelbagai barangan yang menarik di peringkat negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI