fbpx

PRU-15: Bersatu sedia bila-bila masa – Radzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa, namun tetap berpendirian kepentingan rakyat harus diutamakan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ini kerana rakyat sudah berdepan dengan situasi sukar selama dua tahun ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan rata-ratanya tidak mahu PRU-15 dijalankan ketika musim banjir.

“Pendirian kami (Bersatu) bersedia bila-bila masa sahaja untuk PRU-15 diadakan, namun kepentingan rakyat itu perlu diberi keutamaan terlebih dahulu, itu apa yang kita tekankan.

“Kita ada simpati serta faham kesusahan rakyat, kita ingin beri ruang sebanyaknya untuk proses pentadbiran dan pengurusan negara dapat diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis penyerahan pelaksanaan projek pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk aset dan sumber manusianya digunakan untuk berdepan PRU-15 walaupun terdapat kemungkinan ia dijalankan ketika musim banjir pada hujung tahun ini.

Jelas beliau, KPM sebagai sebuah institusi sentiasa memberi dokongan dan sokongan untuk sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pusat pengundian.

“Ini sebahagian daripada perkara yang kita sudah buat untuk sekian lama. Dalam apa jua keadaan diperlukan untuk banjir, maka kami bersedia untuk beri kerjasama bagi tujuan tersebut.

“Kalau diperlukan sekolah untuk penggunaan sebagai pusat pengundian pun, itulah yang kita akan beri kerjasama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI