fbpx
HAIWIN menunjukkan ruang niaga yang diperolehinya melalui program UMK.

Kembali bangkit: Usahawan Muda Kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sebelum ini ternyata turut memberi kesan kepada Haiwin Haswen Ramli.

“Disebabkan pandemik Covid-19 saya telah kehilangan pekerjaan sekaligus menyebabkan pendapatan saya juga turut terjejas.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu koperasi di salah sebuah sekolah,” katanya yang tinggal di Sentul, Kuala Lumpur.

Walaupun menjadi antara sebahagian masyarakat yang terkesan kerana Covid-19, Haiwin cekal untuk terus bangun kembali dan dia telah memohon untuk menyertai Program Usahawan Muda Kota (UMK).

 

HAIWIN menyusan barangan jualan yang akan dijualnya.

Permohonannya itu untuk menjadi usahawan UMK berjaya apabila dia diberikan peluang menyewa sebuah kios untuknya memulakan perniagaan.

“Saya amat gembira sekali kerana diterima menyertai program UMK ini dan ia telah memberi sinar baru buat saya untuk kembali bangkit. 

“Saya telah diberikan sebuah kios untuk menjual makanan dan juga minuman. Apa yang lebih menarik kios ini terletak di lokasi yang begitu strategik dan kadar sewa yang dikenakan juga amat berpatutan,” jelasnya.

Tambahnya, kini dia mampu meraih jualan lebih RM3,000 sebulan setelah diberi peluang untuk berniaga di situ.

Baginya, program UMK anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini banyak membantu seseorang untuk menjadi usahawan di samping tempat yang disediakan lebih terjamin untuk memulakan perniagaan. 

 

KIOS yang disediakan untuk usahawan memulakan perniagaan juga terletak di tempat yang strategik.

Bukan itu sahaja, pihak KWP dan agensi pelaksana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut menjalankan promosi tentang perniagaan yang dijalankan. 

Inisiatif UMK ini telah diperkenalkan oleh KWP sejak tahun 2020 dan berjaya melahirkan lebih ramai usahawan muda untuk berniaga di lokasi-lokasi tumpuan dan strategik di ibu kota.

Sejak program itu diperkenalkan, sebanyak 3,340 permohonan telah diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berminat untuk menjadi usahawan.

Dalam membantu seramai mungkin anak muda untuk berniaga, sasaran awal KWP adalah untuk menyediakan 1,000 ruang niaga.

Sehingga kini, sebanyak 1,252 kios atau ruang niaga telah berjaya disediakan dan 954 atau 76.19 peratus telah mula beroperasi di WP Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Ruang niaga yang disediakan berbentuk kios dengan reka bentuk moden, kemas, teratur dan bersih.

Antara lokasi ruang niaga yang disediakan termasuk di Kios River of Life (contohnya di D’Tebing, Jalan Tun Perak dan Jalan Putra), Kios Pusat Bandar (Central Business District), Malaytown, Lepaking, Berjaya Times Square, Carboot Sale di Taman Tasik Permaisuri dan banyak lagi. 

ANAK muda yang terkesan kerana pandemik Covid-19 boleh menyertai UMK untuk memulakan perniagaan. GAMBAR HIASAN

Program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan menetap di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya dan keutamaan diberikan kepada golongan belia yang cenderung dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan.

Antara jenis perniagaan yang boleh dijalankan adalah seperti makanan dan minuman, pusat gajet dan teknologi maklumat, cenderamata, kraftangan, buku, fesyen dan perhiasan serta produk kosmetik dan kecantikan.

Dalam pada itu, Nor Syairah Sulaiman, 32 yang merupakan pelanggan di salah sebuah kios UMK, menyifatkan program yang dilaksanakan itu memudahkan orang ramai untuk membeli barangan dengan mudah.

“Dengan adanya kios yang menjual pelbagai barangan ia memudahkan pengguna untuk mendapatkan sesuatu yang mereka perlukan.

“Sebagai contoh, setiap pagi orang ramai pasti akan mencari sarapan pagi sebelum masuk kerja dan mereka boleh mendapatkannya di kios yang menjual makanan dan minuman,” jelasnya.

Tambahnya, kios juga berada di lokasi yang strategik yang menjadi laluan utama orang ramai.

Baginya, usaha yang dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang harus dipuji.

“Kita mengetahui ramai yang kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan. Justeru, program ini akan membantu mereka melalui detik-detik sukar dalam kehidupan.

“Saya percaya jika mereka ini dibantu dengan cara sebegini untuk menjadi usahawan mereka pasti akan berjaya,” katanya.

 

 

 

 

 

POPULAR