fbpx
DISEBABKAN gaji Azhar sebagai operator pengeluaran tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan dia dan isteri, Azhar bekerja sambilan sebagai penghantar makanan pada hujung minggu. – GAMBAR HIASAN

Duit selalu kehabisan, pasangan muda bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JALINAN cinta antara Azhar dan Emelia (bukan nama sebenar) mula berputik sejak di bangku sekolah apabila mereka berada di kelas yang sama dari tingkatan satu hingga tiga.

Bermula dengan cinta monyet, hubungan pasangan berasal dari Kedah itu memasuki fasa lebih serius setelah masing-masing tamat sesi persekolahan ketika tingkatan lima.

Sebaik mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azhar mula giat mencari kerja bagi menghalalkan hubungannya dengan Emelia.

Rezeki ternyata memihak kepada Azhar apabila dia berjaya mendapat kerja sebagai operator pengeluaran di salah sebuah kilang terkemuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Selepas hampir cukup mengumpul wang, Azhar telah menyatakan hasrat kepada ibu bapanya untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda bersama bekas rakan sekelasnya, Emelia.

Perkara tersebut dipersetujui oleh keluarganya, malah mereka bersetuju untuk mencukupkan wang hantaran dan kos majlis perkahwinan yang bakal berlangsung.

Pada usia 19 tahun, Azhar dan Emelia akhirnya disatukan dalam satu majlis perkahwinan yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung.

“Saya bercinta dengan Emelia ini agak lama iaitu sejak di bangku sekolah menengah lagi. Dia tinggal tidak jauh pun dari rumah saya. Saya memang sudah kenal rapat dengan ahli keluarganya.

“Selepas habis SPM, saya terus bekerja untuk kumpul duit. Memandangkan gaji saya tidak seberapa, ahli keluarga banyak membantu bagi mencukupkannya,”katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.


AZHAR tidak sanggup lagi meminjam wang daripada keluarganya setiap kali pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara hidupnya bersama isterl. – GAMBAR HIASAN

Selepas berkahwin, mereka terpaksa tinggal berjauhan dengan Azhar bekerja di Bayan Lepas, manakala Emelia kekal di rumah ibu bapanya di Kedah.

Menurut Azhar, mereka tidak dapat tinggal sebumbung disebabkan kos sewa rumah di sekitar Pulau Pinang cukup tinggi iaitu lebih daripada separuh gajinya.

“Saya memang tidak izinkan Emelia bekerja dan semuanya ditanggung oleh saya. Disebabkan itu, kami terpaksa tinggal berjauhan dan pada hujung minggu baru saya pulang ke Kedah .

“Cadangnya memang hendak bawa Emelia tinggal di Pulau Pinang, tetapi, rumah sewa di sini sangat mahal. Jadi, saya fikir lebih baik Emelia kekal di kampung buat sementara waktu,” terangnya.

Situasi berkenaan hanya bertahan dua bulan sebelum ibu bapa Emelia mula merungut mengenai perhubungan jarak jauh yang berlaku antara Azhar dan anak mereka.

Disebabkan itu, Azhar tiada pilihan lain kecuali membawa Emelia tinggal bersama. Azhar menggunakan semua wang simpanannya untuk membayar deposit rumah sewa di Batu Maung.

“Apabila tinggal bersama baru saya tahu susahnya ‘membela anak orang’ ini. Duit gaji saya habis untuk sewa rumah, beli makan minum serta bil pada setiap bulan.

“Ketika itu, saya sudah mula rasa tertekan kerana duit gaji memang tidak pernah cukup untuk menampung kos hidup kami. Jadi, saya terpaksa pinjam duit daripada keluarga,” ujarnya.

Rentetan itu, Azhar terpaksa bekerja lebih masa bagi mencari wang tambahan. Pada hujung minggu, dia melakukan kerja sambilan dengan menjadi penghantar makanan.

Selepas lima bulan tinggal bersama Emelia , Azhar telah ditadirkan jatuh sakit kerana bekerja terlalu kuat dan kurang waktu rehat.

“Saya buat macam-macam kerja untuk cari duit lebih. Jarang sangatlah saya ada di rumah. Sehinggalah satu hari, saya pengsan ketika bekerja di kilang kerana kurang rehat.

“Disebabkan itu, saya mula berfikir untuk melepaskan Emelia. Saya tidak boleh terus hidup seperti itu. Kalau ada anak nanti, saya rasa kos akan lagi bertambah,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, Azhar mengambil keputusan menceraikan Emelia dengan talak satu di depan hakim mahkamah syariah.

Menurut Azhar, keputusan tersebut diambil kerana sebenarnya dia masih belum bersedia dari aspek kewangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Memang sedih terpaksa berpisah dengan orang yang saya cintai. Namun, saya tidak ada pilihan lain kerana memang tidak mampu. Sampai bila saya harus bergantung harap kepada wang keluarga.

“Lebih baik saya berpisah awal. Ketika di mahkamah, hakim juga ada memberitahu bahawa perkahwinan bukan perkara main-main. Setiap pasangan perlu betul-betul bersedia dari segala aspek termasuk kewangan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN