fbpx

Pesara polis Melaka diseru daftar segera ePesara PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINOL Samah (dua dari kiri) menyampaikan pingat PJPN kepada Rahim Baba (tiga dari kanan) dalam masjlis tanpa istiadat di kediamannya di Kampung Durian Daun Dalam, Melaka.

MELAKA – Pesara polis di negeri ini diseru untuk berdaftar dalam sistem ePesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara dan mendapat bantuan sewajarnya menerusi platform berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, setakat ini lebih 1,000 pesara polis telahpun berada di dalam senarai sistem tersebut, namun pihaknya percaya masih ada yang keciciran kerana belum mendaftar.

Katanya, pihaknya juga telah meminta pegawai di kontinjen untuk menyemak semula senarai persaraan bagi proses pendaftaran ePesara tersebut.

“Setakat ini di Melaka sudah lebih 1,000 pesara yang mendaftar. Kebanyakan kita telah daftar dan jumlah ini akan meningkat kerana proses (pendaftaran) itu sedang berjalan.

“Saya menyeru kepada masyarakat atau bekas-bekas pesara serta ahli keluarga mereka yang berada di Melaka sekiranya belum terima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), hubungi ibu pejabat kontinjen dan maklumkan kepada Hal Ehwal Pesara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyerahan PJPN tanpa istiadat di Kampung Durian Daun Dalam di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai penganugerahan PJPN tanpa istiadat, Zainol berkata, pingat itu diberikan kepada dua penerima iaitu Allahyarham Puteh Ahmad dan Rahim Baba, 78, di atas jasa dan sumbangan mereka semasa berkhidmat dalam pasukan.

Katanya, penyerahan pingat untuk Allahyarham Puteh diterima oleh anak beliau, Prof. Datuk Dr. Baharudin Puteh.

“Lans Koperal Puteh mula berkhidmat pada Februari 1952 sementara Sarjan Rahim yang bersara pada tahun 2000 telah menabur bakti sejak 1969. Penganugerahan pingat ini merupakan tanda keprihatinan polis terhadap anggota yang telah bersara.

“Pesara dan bekas polis merupakan aset penting kerana mereka ada ilmu pengetahuan yang luas tentang keselamatan dan pencegahan jenayah. Mereka juga menjadi jambatan penghubung antara polis dan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI