fbpx

Liga Premier: JDT II sah juara musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain dan kejurulatihan JDT II menjulang trofi Liga Premier musim ini selepas menewaskan Selangor 2 1-0 pada aksi terakhir sebentar tadi.

SHAH ALAM – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT II) mencipta sejarah apabila menjadi kelab feeder pertama menjuarai Liga Premier selepas menewaskan Selangor 2 dengan kemenangan 1-0 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium UiTM itu, skuad muda Harimau Selatan kendalian Mariani Echeverria meletakkan kesebelasan terbaik termasuk beberapan pemain utama JDT seperti Ahmad Hazwan Bakri, Daniel Ting dan penjaga gol, Izham Tarmizi.

Namun, perlawanan pada separuh masa pertama nampak seimbang dengan kedua-kedua pasukan saling berbalas serangan tetapi gagal menepati sasaran.

Bersambung pada babak kedua, JDT II lebih bersemangat untuk memburu gol kemenangan dan tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi tandukan Daryl Sham hasil hantaran lintang Daniel Ting pada minit ke-49.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad tuan rumah kendalian Rusdi Suparman berusaha untuk meraih gol penyamaan tetapi percubaan berjaya dipatahkan benteng kebal pasukan lawan.

JDT turut meraih peluang hasil gerakan lincah yang dilakukan oleh Daryl, Musa Sidebe dan Hazwan tetapi gagal menambah jaringan.

Peluang terbaik skuad muda Gergasi Merah hadir pada penghujung perlawanan tetapi rembatan pemain gantian, Haiqal Haqeemi Hairi ketika peluang satu lawan satu mudah diselamatkan Izham.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan trofi Liga Premier musim ini milik JDT II yang mengumpul 42 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Ini merupakan musim terakhir Liga Premier dilangsungkan selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ seketika saingan divisyen kedua itu bermula tahun depan.

Kejayaan JDT II meneruskan momentum pasukan utama yang terlebih dahulu menjuarai trofi Piala FA dan Piala Sumbangsih selain hampir pasti mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI