fbpx

RM3.93 bilion diperuntukan bagi rawatan pesakit jantung tahun 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada tahun 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung berdasarkan laporan ‘The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia’ yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lebih membimbangkan, beban kos itu dijangka akan terus meningkat sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut.

Katanya, penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan berpunca daripada penyakit jantung.

“Sejak dua dekad yang lalu, beban penyakit jantung telah merekodkan peningkatan dari 11.6 peratus pada tahun 2000 ke 17 peratus pada tahun 2020.

“Bukti saintifik juga menunjukkan penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol yang tinggi menyumbang kepada penyakit kardiovaskular manakala pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, masyarakat perlu cakna faktor-faktor risiko penyakit jantung agar pengesanan awal dapat dilakukan dan seterusnya dapat mengurangkan faktor risiko serangan jantung.

“Mereka yang menghidapinya dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda awal serangan jantung terutamanya pada jam pertama selepas serangan (golden hour) kerana tindakan awal akan mengurangkan komplikasi kekal kepada jantung pada tahap yang minimum.

“Semua lapisan masyarakat perlu merebut peluang untuk menjalani saringan kesihatan dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga diseru agar berusaha menjalani gaya hidup yang sihat bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh, seterusnya menjadi inspirasi serta motivasi kepada keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling.

“Selain itu, inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang dilaksanakan bermula Julai sehingga Disember 2022 adalah untuk menggalakkan masyarakat untuk menjalani saringan kesihatan.

“Inisiatif ini juga adalah selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini bertujuan untuk menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI