fbpx
Seekor anak lembu yang dilahirkan berkepala dua.

Penternak di Bachok terkejut sambut anak lembu kepala dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang penternak di Bachok, Kelantan terkejut apabila seekor anak lembu dilahirkan dengan dua kepala di sebuah kandang kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Menurut penternak, Kamazuhar, 49, kelahiran anak lembu baka Limousine itu merupakan kejadian pertama kali yang dilaluinya sepanjang lebih lima tahun menguruskan ternakan lembu.

Kamazuhar menjelaskan, pada awalnya, anak lembu tersebut masih hidup namun, disebabkan sebahagian kepalanya tersangkut dan sukar untuk dikeluarkan, dia bersama lima rakan yang lain terpaksa menggunakan kaedah berbeza demi menyelamatkan nyawa ibu lembu.

“Kali pertama saya sambut kelahiran anak lembu seperti ini yang ada dua kepala, macam manusia juga ada yang lahir sebagai kembar siam satu badan, sama macam anak lembu ini.

“Mula-mula anak lembu ini hidup, tapi masa nak keluarkan, satu kepalanya lagi tersangkut dan kita terpaksa memasukkan tangan ke dalam dan tarik kepalanya dan mungkin menyebabkan anak lembu tersebut tercekik sehingga akhirnya mati.

“Seramai enam orang diperlukan untuk uruskan kelahiran anak lembu kali ini dan kami terpaksa buat kaedah tersebut dari kebiasaan demi selamatkan ibu lembu, takut kalau biar lama, ibu lembu penat dan boleh mati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya anak lembu tersebut masih hidup, dia berniat untuk sedekahkan kepada mana-mana individu yang mahukannya.

“Ingat kalau dapat selamatkan, nak bagi sahaja pada siapa yang nak, tapi dah mati bukan boleh buat apa-apa.

“Nanti kita akan uruskan proses untuk tanam anak lembu tersebut,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN