fbpx

Mahkamah: Pegawai KDN dituduh terima suapan RM80,000, skuter XMax

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syamsi (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan lebih RM100,000 termasuk motosikal jenis Yamaha XMax sebagai balasan mendapatkan projek di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu dekat sini tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozillah Salleh.

Muhammad Syamsi semasa kejadian yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Perolehan KDN telah menerima suapan wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah motosikal Yamaha XMax bernilai RM22,200 daripada pemilik sebuah syarikat yang juga seorang kontraktor.

Ia diberikan sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan memotong rumput, mencuci pejabat, bilik kuliah dan parit atau longkang di Maktab PDRM Kuala Kubu Selangor berjumlah lebih RM1.58 juta yang dianugerahkan kepada syarikat tersebut.

Kesalahan itu dilakukan antara Jun 2017 hingga 18 Mac 2019 di Serdang dan Kajang.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Nor Hafidzuddin.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 28 Oktober depan. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI