LAMA nian rasanya penulis tidak berpeluang berbicara dengan seorang graduan yang cukup jelas letak duduk visi dan ‘pelan’ kehidupannya. Tidak sangka, detik itu akhirnya hadir daripada seorang anak gadis Orang Asli suku kaum Semai berambisi besar yang baru-baru ini namanya mewangi mekar.
Susherrie Suki baru-baru ini tular dengan kisah kejayaannya menjadi Orang Asli pertama meraih ijazah sarjana muda kelas pertama di universiti terkemuka, University College London (UCL), United Kingdom (UK). UCL adalah universiti hebat yang berada di ranking kelapan dunia.
Mendakap bangga jati dirinya apabila mengenakan hiasan kepala tempok serta selempang semasa graduasi, Susherrie berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Hartanah. Mengagumkan gadis itu yang menganggotai Royal Town Planning Institute (RTPI), UK juga merupakan satu-satunya anak Malaysia yang mengikuti jurusan tersebut di UCL.
Dalam temu bual menerusi WhatsApp tengah malam minggu lalu, Susherrie, 23, yang kini berada di zon waktu Garisan Meridian Greenwich menyatakan dia tidak menunggu lama apabila bakal mengikuti pengajian sarjana dalam bidang sama di universiti sama minggu depan.
Ternyata Susherrie yang mesra disapa Sherrie bukan sahaja menanam cita-cita besar dalam kerjaya tetapi juga berimpian tinggi untuk komunitinya.
“Saya mahu mengubah mentaliti orang ramai, sehingga bila disebut sahaja Orang Asli, mereka membayangkan kejayaan, bukan kemiskinan.
“Saya anggap ini antara langkah permulaan dan saya harap mampu lakukan suatu yang lebih besar lagi selepas ini demi komuniti Orang Asli,” katanya kepada K2.
Sherrie anak jati Perak. Bapanya merupakan Orang Asli Semai berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung di Tanjung Malim, manakala ibunya Orang Asli Semai dari Kampung Orang Asli Ulu Geruntum di Gopeng. Sherrie sebenarnya telah kehilangan ibu tercinta yang menghembuskan nafas terakhir tidak lama sebelum dia mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Barangkali dengan pencapaian hebatnya dalam pelajaran sejak Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A dan SPM 10A ini ramai menebak dirinya seorang yang sedia bijak, namun gadis ini menafikan dirinya seorang yang pintar sebaliknya semua berpaksikan usaha keras.
“Saya tidak rasa saya bijak, keputusan itu hanya pada peperiksaan besar sedangkan saya pernah mendapat D dalam subjek Kimia dan Matematik Tambahan semasa peperiksaan biasa.
“Saya berusaha keras, kalau sekolah lazimnya habis pukul 1 tengah hari, saya akan balik hanya pada pukul 5 petang untuk sambung belajar di perpustakaan,” kata bekas penuntut Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ave Maria, Ipoh ini yang fasih empat bahasa termasuk Mandarin.

Menurut laporan media sebelum ini, Sherrie adalah salah seorang pelajar Orang Asli yang menerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Program Pembangunan Bakat Muda susulan keputusan cemerlangnya dalam SPM. Dia telah menuntut di Kolej Mara Seremban untuk mengikuti pengajian A Level sebelum ke UK pada tahun 2019.
“Semasa di kolej, saya satu-satunya Orang Asli dan begitu juga di universiti. Seringkali bila saya menyatakan saya Orang Asli, reaksi orang takjub kerana mereka tidak pernah bertemu Orang Asli. Saya rasa sedih bila orang tidak kenal Orang Asli. Saya mahu ubah keadaan itu.
“Bila pertama kali menjejakkan kaki di bumi London, saya berasa begitu gementar. Saya seorang yang introvert dan entah bagaimana untuk mencari kawan. Maka, saya aktif mengikuti aktiviti masyarakat dan begitulah cara saya mencari kenalan. Dalam jurusan yang saya ikuti iaitu perancangan bandar pun saya seorang sahaja orang Malaysia, mungkin kerana jurusan ini bukan jurusan lazim kalangan orang kita.
“Menuntut di universiti seperti UCL juga mencabar kerana silibus pembelajarannya jauh lebih tinggi daripada A Level. Standard mereka mahukan begitu tinggi. Saya berusaha keras dengan selalu merujuk pensyarah untuk pastikan setiap apa yang saya buat betul. Saya melompat girang kerana tidak percaya mampu meraih kejayaan sebegini,” katanya.
Sememangnya komuniti Orang Asli bukanlah sinonim dengan bandar, bahkan cenderung dikaitkan dengan pedalaman atau belantara, namun Sherrie bercita-cita mahu menjadi pakar perancang bandar.
Sherrie mengakui bapanya ialah idola yang banyak membentuk dirinya. Bapanya merupakan salah seorang daripada segelintir Orang Asli yang berjaya belajar sehingga ke universiti pada tahun 1990-an.

Kata Sherrie, biarpun dia dilahirkan di Ipoh kerana bapanya bekerja di bandar, bapanya yang merupakan seorang perancang bandar sentiasa mengingatkan dia dan lima adik-beradiknya kepada asal-usul mereka. Kesemua mereka bertutur dalam bahasa Semai di rumah dan sering pulang ke kampung ibu dan bapa terutama semasa sambutan Hari Genggulang agar mereka terus didekatkan dengan adat dan cara hidup Orang Asli.
“Bapa saya seorang yang mementingkan pendidikan, namun tidaklah terlalu tegas dan sentiasa memberi sokongan sehingga saya berasa kecewa jika menghampakannya. Bapa saya selalu mengingatkan saya dan adik-beradik untuk kembali menyumbang kepada masyarakat Orang Asli. Bapa saya aktivis sosial yang menyumbang kepada masyarakat Orang Asli,” ujarnya.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dari sekolah hingga universiti, biarpun berkali-kali melakukannya, dia tidak jemu untuk menerangkan kepada sesiapa sahaja tentang Orang Asli.
“Saya aktif memperkenalkan dan berkongsi tentang budaya Orang Asli kepada kawan-kawan,” ujar anak kepada Datuk Suki Mee ini.
Bercerita lanjut tentang impian dan cita-citanya, gadis ini terus mengagumkan penulis dengan wawasannya yang jelas.
“Sasaran saya, selepas tamat pengajian sarjana muda dalam bidang ini, saya akan sambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang sama. Kemudian, setelah bergelar graduan sarjana saya akan berusaha untuk mendapatkan akreditasi daripada RTPI UK sebagai perancang bandar bertauliah, ini adalah sebabnya saya menuntut di UCL kerana hanya graduan dari universiti tertentu dan salah satunya UCL yang layak menerima akreditasi itu.
“Kemudian, saya akan pulang ke Malaysia untuk mendapatkan pula akreditasi sebagai perancang bandar bertauliah dari badan berkaitan di Malaysia. Dengan dua akreditasi itu, saya harap saya dapat menjadi pakar perancang bandar di Malaysia,” katanya.
Sherrie menjelaskan, dalam bidang perancangan bandar, minatnya adalah pada skop rekaan bandar urban memandangkan dia adalah seorang yang meminati aspek urban design.
“Saya mahu mereka bandar urban di Ipoh atau harapnya, bandar-bandar lain di Malaysia juga. Bayangan saya adalah untuk mewujudkan bandar yang berorientasikan pejalan kaki. Saya lihat, kita di Malaysia terlalu berorientasikan kereta. Ke mana-mana pun dengan kereta. Saya mahu bandar-bandar di Malaysia lebih mesra untuk berjalan kaki,” katanya.
Pada akhirnya bagi Sherrie, impiannya setelah menjadi insan yang berjaya adalah untuk mewujudkan organisasi sosial yang berbakti kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya mahu memperkasa Orang Asli terutama dalam aspek pendidikan dan sediakan kemahiran.
“Bila orang ramai masuk ke kampung Orang Asli, mereka lazimnya bawa makanan, sedangkan apa yang diperlukan lebih daripada itu iaitu pendidikan dan kemahiran, itulah yang utama.
“Kepada komuniti Orang Asli, jangan malu dan pandang rendah diri sendiri. Yakinlah kita juga mampu berjaya jika berusaha,” ungkapnya.














