fbpx

Anak jati Kuala Pilah perluas empayar perniagaan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faruz (empat dari kiri) pada majlis pelancaran cawangan kedai emas terbaharunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

KUALA PILAH – Selepas me­nimba pengalaman berniaga emas secara online, seorang bekas pekerja swasta berjaya membuka sebuah kedai emas di sini.

Anak jati Sri Menanti, Kuala Pilah, Ahmad Faruz Huzairi, 44, tidak menyangka usahanya membuka kedai emas pada tahun 2015 itu telah membuahkan kejayaan sehingga jualan perniagaan dari premis sulungnya mampu mencecah sehingga RM60 juta pada tahun lalu.

Bermula dengan hanya menjual emas sekitar 3.5 kilogram (kg) pada tahun pertama kedainya dibuka, kini beliau telah membuka cawangan keduanya, Kedai Emas Nur Dalina di Sandakan, Sabah.

“Daripada jualan emas sebe­rat 3.5kg pada tahun 2015, perniagaan ini berkembang maju hingga mampu menjual sehingga 33kg emas pada tahun ini.

“Kami menyasarkan jualan untuk tahun hadapan bakal me­ningkat kepada 40kg emas de­ngan unjuran keuntungan mening­kat kepada lebih RM70 juta.

“Selepas ini, kami bercadang untuk melebarkan sayap ke Pantai Timur pula iaitu bermula di Kuantan, Pahang.

“Buat masa ini kami masih mencari individu yang mempunyai kepakaran mengenai emas untuk memulakan operasi di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kedai emas milik­nya, Kedai Emas Nur Jannah Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Ahmad Faruz menerangkan, nama Nur Jannah diguna pakai untuk cawangan terbaharunya itu membawa maksud Cahaya ­Syurga bersempena nama anaknya sendiri.

Selain itu, ia mahu dijadikan sebagai simbol dalam mengembangkan perniagaan sekali gus membolehkannya menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Syarikat kini memiliki kira-kira 40 pekerja terdiri daripada akauntan, juruaudit, jurujual dan tukang emas yang mana 27 pekerja daripada jumlah tersebut telah ditempatkan di Kuala Pilah.

“Kami sentiasa berusaha me­ningkatkan aktiviti promosi produk dan perkhidmatan kepada pelanggan sebagaimana kami melayan ahli keluarga sendiri,” ujarnya.

Tambah Ahmad Faruz, antara faktor kejayaan beliau dalam industri tersebut bergantung kepada bantuan serta sokongan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mula menawarkan khidmat nasihat sekitar tahun 2018.

“Pada tahun lalu, kami telah menerima kemudahan modal pusingan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM) sebanyak RM200,000 dan telah memperkukuh jenama di bawah Program Peningkatan dan Standard Perniagaan (PUSMA) tahun ini sebanyak RM15,000.

“Terbaharu kami memperoleh geran pembangunan laman web syarikat melalui geran DigitalBiz sebanyak RM16,000,” ujarnya.

Menurutnya, jualan syarikat sebelum mendapat kemudahan Mara pada tahun 2020 kira-kira RM9.5 juta, namun selepas dibantu, jualan melonjak lebih daripada RM41 juta.

“Syarikat juga mendapat kelulusan pembiayaan pembelian premis (SPiM Premis) sebanyak RM774,000 daripada PMB Tijari,” katanya.

Memaklumkan tentang ca­baran yang dihadapi dalam perniagaan tersebut, Ahmad Faruz menerangkan, kekangan utamanya adalah untuk menguruskan kakitangan dari segi pencapaian dan kebajikan mereka.

Dalam pada itu, beliau me­nyatakan perniagaannya itu turut berhadapan dengan masalah peni­puan yang mana ada sekumpulan orang yang suka mengambil kesempatan semasa harga emas turun di pasaran.

Selepas itu, kumpulan tidak bertanggungjawab ini akan menawarkan harga yang tidak masuk akal menggunakan nama kedai kami.

“Di sinilah kami banyak mendidik pengguna di media sosial melalui platform media sosial secara langsung untuk berhati-hati dengan mana-mana individu yang menghubungi mereka menggunakan nama kedai kami.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah mempercayai pihak tidak bertanggungjawab dan terus menghubungi kami di talian rasmi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI