SEKITAR tahun 2020, Shawn Redner telah menyatakan hasrat kepada isterinya, Hilary Siegel untuk mengubah suai rumah mereka di Menomonee Falls, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) menjadi sebuah muzium.
Perkara tersebut telah dipersetujui oleh Siegel, meskipun muzium yang bakal diwujudkan itu berkisar mengenai koleksi barangan berkaitan kucing.
Redner berkata, mereka asalnya mengumpul koleksi patung, figura dan pelbagai barangan berbentuk kucing tersebut ekoran rasa bosan, selain mendapat inspirasi daripada salah seorang rakan yang minat menyimpan patung cendawan.
Jelasnya, selain barangan sedia ada di rumah, koleksi barangan berkaitan kucing itu turut dibeli dari 10 hingga 15 kedai barangan antik, Goodwills yang terdapat sekitar 50 kilometer dari rumah mereka.
“Barang-barang itu dibeli dari pusat barangan antik yang terdapat di sekitar rumah kami. Kami bermula dengan sedozen patung kucing dan gambar sebelum jumlahnya kian bertambah.
“Kini, kami mempunyai 12 bahagian item barangan berkaitan kucing seperti gambar, bantal dan miniatur. Jumlahnya adalah 13,000 yang dibeli dari kedai, barangan terpakai milik kami dan sumbangan orang ramai,” katanya kepada portal UPI baru-baru ini.
Terang Redner, idea membuka muzium tersebut tercetus ketika dia melihat beberapa patung kucingnya sebelum menyatakan hasrat itu kepada isterinya.

SUASANA dalam rumah Redner yang diubah suai menjadi muzium berasaskan kucing di Menomonee Falls, Wisconsin, AS.
Jelasnya, rumah mereka telah melalui proses transformasi apabila dicat semula, dipasang lampu sebelum dinaikkan papan tanda yang tertera perkataan, Redner’s Rescued Cat Figurine Mewseum.
“Dengan adanya muzium ini, kami berharap dapat mengumpul wang daripada kutipan tiket sebelum disumbangkan kepada pusat perlindungan kucing.
“Muzium ini dibuka pada hari Ahad pada minggu ketiga dan keempat setiap bulan. Pelawat dikenakan caj sebanyak AS$4 (RM20) seorang. Kami merasakan ia satu caj yang munasabah,” ujarnya.
Pasangan tersebut menerima purata kira-kira 30 pengunjung setiap minggu.
Jelas Redner, mereka menerima ramai pengunjung termasuk pelajar kolej, anggota bomba, pengikut aliran muzik punk sehinggalah warga emas berusia 90 tahun.
“Sambutan daripada orang ramai terhadap muzium ini sangat hebat. Saya seperti tidak percaya rumah saya telah menjadi tempat tumpuan pelawat pada hujung minggu.
“Kami juga mempunyai empat ekor patung tiket yang disembunyikan. Jika kanak-kanak dapat mencarinya, mereka akan diberikan hadiah. Kanak-kanak sangat menyukai permainan ini,” ujarnya.
Berita mengenai projek muzium pasangan tersebut telah mendorong ramai orang untuk menderma barangan berkaitan kucing sehingga membuatkan jumlah koleksi kian bertambah.
Situasi ini telah mendorong Redner merancang untuk memindahkan muzium tersebut dari rumahnya ke sebuah tempat baharu yang lebih besar serta dilengkapi kedai kopi.
“Rumah kami sudah tidak dapat menampung jumlah barang yang kian bertambah. Jadi, sudah tiba masanya kami pindah ke tempat lain.

ANTARA patung kucing menarik yang dipamerkan.
“Tempat baharu itu nanti bukan saja membolehkan kami mempamerkan barangan berkaitan kucing, malah berkongsi kisah menarik setiap barang kepada pengunjung sambil menghirup secawan kopi.
“Ia juga akan memberi keselesaan kepada pengunjung terutamanya kepada mereka yang kurang senang untuk datang melawat ke rumah kami,” katanya.
Redner menegaskan, dia sama sekali tidak akan menjual koleksi terbabit meskipun mendapat tawaran tinggi, sebaliknya ingin menyerahkan pengurusan muzium kepada generasi baru.
“Mudah-mudahan dalam 40 tahun mendatang, kami dapat bertemu seorang pemuda berusia 20 tahun yang ingin meneruskan legasi muzium ini,” ujarnya sebelum menutup bicara.














