fbpx
Kawasan setinggan di sepanjang Terusan Xuyen Tam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada 2018. - AFP

Bandar Asia Tenggara lebih cepat tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – Bandar-bandar tepi pantai di serata Asia Selatan dan Asia Tenggara akan tenggelam lebih cepat berbanding tempat-tempat lain di seluruh dunia, menyebabkan berpuluh-puluh juta orang lebih berisiko terhadap ancaman peningkatan paras air laut, demikian menurut satu kajian baharu.

Kajian Universiti Teknologi Nanyang(NTU) di Singapura yang diterbitkan pada minggu lalu dalam jurnal Nature Sustainability itu menyatakan bahawa proses urbanisasi yang pesat menyaksikan bandar-bandar pesisir pantai banyak bergantung kepada sumber air bawah tanah bagi menampung peningkatan populasinya. 

“Ini menyebabkan bandar-bandar terbabit mengalami malapetaka tanah mendap dan lebih berisiko terjejas akibat peningkatan paras laut disebabkan oleh perubahan iklim,” kata kajian tersebut.

Bandar Raya Ho Chi Minh yang merupakan pusat urbanisasi dan hab perniagaan utama Vietnam sedang tenggelam pada kadar purata 16.2 milimeter setiap tahun. Kota raya itu mengungguli senarai 48 bandar raya tepi pantai yang mendap di seluruh dunia berdasarkan kajian data satelit. 

Bandar pelabuhan Chittagong di selatan Bangladesh adalah kedua paling pantas tenggelam dengan Ahmedabad di selatan India, Jakarta yang merupakan ibu kota Indonesia dan hab komersial Myanmar, Yangon juga mendap lebih 20 milimeter setahun. 

“Banyak bandar raya tepi pantai yang mendap ini adalah yang pesat membangun dengan permintaan tinggi kepada air dalam tanah dan beban daripada struktur bangunan menyumbang kepada mendapan permukaan tanah,” kata kajian sama.

Bandar-bandar tenggelam bukan sepenuhnya berpunca daripada perubahan iklim tetapi saintis-saintis berkata, penyelidikan mereka akan memberikan lebih banyak pengetahuan tentang bagaimana fenomena tersebut akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang didorong oleh peningkatan paras laut.

Lebih satu bilion penduduk dijangka tinggal di bandar-bandar tepi pantai yang berisiko tenggelam akibat peningkatan paras laut menjelang tahun 2050, demikian menurut Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC).

Menurut IPCC, paras laut di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 60 sentimeter menjelang akhir abad ini walaupun pengeluaran gas rumah hijau dapat dikurangkan dengan banyak. – AFP 

POPULAR