fbpx

Polis nafi cubaan culik di Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KANGAR – Polis menafikan kejadian yang tular di laman sosial kononnya berlaku cubaan culik kanak-kanak lelaki yang dilakukan sekumpulan lelaki menaiki sebuah van putih di Kuala Perlis pada semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.27 tengah hari tadi mengenai kejadian itu yang kononnya berlaku di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis pada pukul 7 malam semalam.

“Hasil siasatan mendapati berlaku salah faham dan isu ditularkan tanpa ada pembuktian serta kesahihan yang mana polis masih belum menerima apa-apa laporan kes kanak-kanak hilang.

“Kita juga membuat semakan dengan pemimpin tempatan yang mengesahkan tidak menerima aduan daripada penduduk dan menafikan kejadian itu berlaku di kampungnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai kejadian sekumpulan lelaki menaiki van berwarna putih cuba mengumpan kanak-kanak dengan cara memberi wang di sebuah kampung di Kuala Perlis sebelum disedari orang ramai yang cuba mengejar kumpulan individu tersebut namun gagal.

Menurut Yusharifuddin, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan serta menularkan berita tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Polis Kangar menasihatkan orang ramai agar memeriksa terlebih dahulu berita yang diterima di laman sosial sebelum menyebarkannya kepada orang lain.

“Pihak berkuasa juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan penyebaran berita palsu dan menularkannya kerana ia boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI