fbpx

MOSTI komited bangunkan teknologi solar, sedia pinjaman RM254.54 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham (tengah) mendengar penerangan berhubung penggunaan teknologi solar semasa hadir merasmikan MPIA Solar Roadshow 2022 Negeri Johor, di Hotel Renaissance, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk membangunkan pelbagai aplikasi teknologi melibatkan industri solar negara dengan menyediakan sokongan pembiayaan dan pinjaman dengan peruntukan berjumlah RM254.54 juta sejak 2011 sehingga 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dana berkenaan antaranya sebanyak RM14.8 juta telah diagihkan kepada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemegang taruh bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tenaga solar tempatan.

Menurut beliau, MIMOS Berhad juga telah membangunkan empat projek R&D menerusi dana ‘ScienceFund’ dan ‘Strategic Research Fund’ dengan pembiayaan RM15.22 juta, .

“Tujuannya bagi meningkatkan output (pengeluaran) kuasa solar dengan penggunaan penjejak axis tempatan dan panel solar berkecekapan tinggi melalui penggunaan bahan dan teknologi termaju.

“Selain itu, agensi pembiaya MOSTI iaitu Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) juga telah membiayai tiga syarikat berkaitan perkhidmatan Sistem Solar Fotovoltaik (PV) termasuk pembinaan loji tenaga solar berkuasa 10 megawatt (MW) menerusi Dana Modal Teroka dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM16.85 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA) Solar Roadshow 2022 Negeri Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden MPIA, Datuk Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng.

Tambah Adham, selain itu pinjaman sebanyak RM207.75 juta telah diberikan kepada 23 syarikat tempatan berasaskan teknologi tenaga solar menerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) di bawah Program Liquidity Financing For Technology Start- Ups (MDV-LIFTS).

Sementara itu, Muhammad Guntor memberitahu, MPIA telah mengemukakan cadangan melalui memorandum khas kepada Kementerian Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2023.

Katanya, antara perkara yang diketengahkan pihaknya adalah pengurangan cukai peribadi sebanyak RM50,000 dalam lima tahun untuk pemasangan solar panel.

“Begitu juga pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Duti Import untuk bisnes berkaitan dengan Solar Panel dan Sistem Kuasa Simpanan Bateri.

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbang cadangan kami yang akan menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui selari dengan misi dan visi kerajaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI