fbpx

Isteri koma selepas lahirkan anak ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SHAZUAN pikul tanggungjawab untuk mengurus keluarga selepas isterinya disahkan koma sejak Julai lalu.

SIK – Kegembiraan seorang siak masjid menyambut kelahiran anak ketiganya tidak berpanjangan apabila isterinya disahkan koma sejak Julai lalu.

Muhammad Shazuan Md. Saad, 26, berkata, isterinya Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 35, masih tidak sedarkan diri sejak melahirkan anak mereka di di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Katanya, dia kini perlu memikul tanggungjawab untuk mengurus keluarga termasuk tiga anaknya yang masih kecil.

“Saya perlu menjaga isteri setiap masa kerana keadaannya yang terlantar dan masih tidak sedarkan diri.

“Begitu juga bayi kami, Muhammad Zakuan Adha yang berusia dua bulan serta dua lagi anak yang bersekolah iaitu Muhammad Shakir Amin, 11, dan Nurul Umairah, 9,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tupai Tua di sini semalam.

Menurut beliau, isterinya sihat sepanjang hamil dan hanya mempunyai penyakit kencing manis yang tidak serius.

“Isteri terpaksa bersalin de­ngan cara pembedahan dan selepas itu, dia mengadu ada merasa loya dan ingin muntah sebelum pengsan,” ujarnya.

MUHAMAD SHAKIR (kanan) dan Nurul Umairah (kiri) bersama adik bongsu mereka ketika ditemui di Kampung Tupai Tua, Sik semalam.

Jelasnya, doktor memaklumkan isterinya tidak sedarkan diri kerana air ketuban telah memasuki dalam sistem peredaran darah.

“Kemudian, degupan jantungnya terhenti dan doktor terpaksa melakukan rawatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa, jika diikutkan waktu itu isteri telah tiada.

“Jantung isteri kembali berfungsi dan dia kemudian ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan dan rawatan selama lebih sebulan,” katanya.

Ujarnya, isteri seterusnya dipindahkan ke Hospital Daerah Sik selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Sementara itu, katanya, dia hanya bekerja sebagai siak masjid dengan pendapatan RM700 sebulan, manakala isteri yang sebelum ini bekerja sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di

Sekolah Kebangsaan Haji Hussein sudah tidak menerima sebarang bayaran atau elaun.

“Segala perbelanjaan untuk isteri termasuk rawatan, ubat, susu khas dan lampin pakai buang memerlukan lebih RM1,000 sebulan. Ia agak sukar kerana saya tiada pendapatan lain untuk menampung perbelanjaan harian isteri dan persekolahan anak-anak.

“Sebelum ini, saya ada buat kerja-kerja kampung, namun kini tidak lagi kerana terpaksa berikan perhatian sepenuhnya kepada isteri dan anak,” jelas­nya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Shazuan di talian 019-3523308 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0211541000051668 (Muhammad Shazuan Md. Saad).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI