fbpx
Nur Shazlin (gembar kecil) terlantar koma selepas terbabit dalam kemalangan pada 26 Mei tahun lalu.

Sudah setahun kakak ‘tidur’ – Bapa Nur Shazlin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tiada apa yang dapat diungkapkan oleh seorang bapa melainkan dia terus berdoa agar anak ke­sayangannya yang merupakan mangsa kemalangan, Nur Shazlin Mohd. Sharif, 24, kembali sedar setelah setahun terlantar akibat koma.

Mohd. Sharif Ali, 52, berkata, dia dan isteri, Noor Hafliyana Md Dali, 48, sehingga ke saat ini masih tidak putus berharap agar anak kedua daripada tujuh beradik itu diberi keajaiban dan sembuh seperti sedia kala.

Menurutnya, mereka sedikitpun tidak pernah menyimpan rasa putus asa dan kecewa de­ngan nasib yang menimpa Nur Shazlin malah menganggap ia sebagai amanah besar yang perlu dijaga rapi.

“Selasa lalu (26 Mei) genap setahun kejadian yang menimpa kakak (panggilan untuk Nur Shazlin) pada 26 Mei tahun lalu. Meskipun sampai ke hari ini tiada siapa yang datang mengaku dan beritahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Kami dah tak fikir tentang itu lagi, kami reda dan hanya mahu kakak kembali sedar, lihat ibu dan abah serta adik beradik lain.

“Tempoh menunggu selama 365 hari bukan sekejap…kami merasakan ia sangat lama sebab kami sangat berharap kakak sembuh,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Sharif memberitahu lagi, Nur Shazlin telahpun menjalani pembedahan sebanyak tujuh kali sejak kejadian menimpanya tahun lalu termasuk memasang semula tempurung bahagian kanan kepala pada 5 Mei lalu.

“Doktor ada beritahu (situasi kakak) perlu mengambil masa.Kami mohon semua orang bantu ‘hadiahkan’ doa agar kakak kembali sedar.

“Rindu kami terhadap dia semakin mendalam. Kami sedih mengenang keadaan kakak ketika ini kerana masih tiada sebarang perubahan. Sampai bila dia akan terlantar sebegini,” ujarnya dalam nada sebak.

Pada 27 Jun 2025, Nur Shazlin tidak sedarkan diri selepas 31 hari dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN