fbpx

NGO desak kerajaan campur tangan isu penipuan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang wakil NGO yang mendesak kerajaan campur tangan dalam isu penipuan pekerjaan di Laos, Kemboja dan Myanmar. FOTO FAIZ ALIF MOHD. ZUBIR

PUTRAJAYA-Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus mendesak kerajaan supaya campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan melibatkan warganegara Malaysia yang terperangkap di Myanmar, Laos dan Kemboja.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima daripada keluarga mangsa, kira-kira 170 rakyat Malaysia kini menjadi mangsa kepada sindiket terbabit dan masih terperangkap di ketiga-tiga negara berkenaan.

Menurutnya, sindiket terbabit turut menuntut wang pampasan sekitar RM50,000 hingga RM100,000 daripada mangsa sekiranya mereka ingin dilepaskan atau dihantar pulang.

“Isu ini telah berlanjutan dan menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang amat tertekan dan sebilangan daripada mangsa gagal dikesan dan hilang jejak.

“Saya difahamkan terdapat mangsa yang membuat laporan kepada pihak berkuasa di sana, namun malangnya tiada tindakan atau pembelaan dan mereka beranggapan sindiket terbabit mempunyai pengaruh yang kuat di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan menegaskan isu penipuan tawaran pekerjaan tersebut sebagai jenayah tidak berperikemanusiaan.

“Ia bukan sahaja melibatkan penipuan malah paksaan untuk bekerja sebagai buruh paksa serta melibatkan jenayah perdagangan manusia.

“Saya juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya tidak tertipu dengan sindiket ini terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah kerana ini adalah perkara benar, jangan kita suka-suka pergi ke negara seperti Laos, Myanmar atau Kemboja,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI