fbpx

Muhammad Azeem dinobat raja pecut Sukma MSN 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD AZEEM bergambar dengan papan digital menunjukkan catatan masa 100m yang direkodkannya pada Sukma 2022 bulan lepas.

PEMEGANG rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menepati jangkaan sebagai raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 selepas menjuarai final 100m di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Jaguh pecut berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu mencatat masa 10.25 saat (s) untuk menewaskan dua pencabar terhebatnya, Muhammad Arsyad Md. Saat (Johor) dan Muhammad Haiqal Hanafi (Negeri Sembilan).

Bagi Azeem, segala pengorbanan dan perit jerih yang dilaluinya sejak meraih tempat terakhir pada final 100m edisi Sukma Pe­rak 2018 akhirnya dituai dengan ganjaran cukup lumayan.

“Ini adalah kali kedua saya berlari di Sukma. Edisi sebelum ini saya No.8 di final iaitu tempat terakhir. Sekarang saya kembali dan dapatkan semula hak saya iaitu pingat emas.

“Banyak saya lalui sebelum sampai ke tahap ini. Saya masih lagi tak percaya saya sebagai pemegang rekod 100m dan 4x100m.

“Semua orang tahu Covid-19 dan saya juga pernah koyak hamstring tahap dua yang mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk pulih.

“Saya juga kalah dalam semua kejohanan, kata-kata kesat daripada semua orang tetapi itu memberikan semangat dan menjadikan saya ‘Azeem’ yang sekarang,” kata Azeem yang akan turun dalam acara 200m esok.

Pingat perak pada aksi final itu menjadi milik Arsyad dengan catatan 10.46s, manakala Haiqal menamatkan perlumbaan reben biru tersebut di tempat ketiga menerusi masa 10.50s.

Gelaran ratu pecut Sukma 2022 pula dimenangi atlet Pahang, Nor Sarah Adi yang merupakan pemegang rekod lompat bergalah kebangsaan.

Nor Sarah menjuarai 100m wanita dengan catatan 11.91s, menewaskan pemenang pingat perak dari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling (12.08s) dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohd. Rizal di tempat ketiga (12.10s).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI