fbpx

Kanak-kanak sanggup kongsi duit poket beli vape – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBBAROW (gambar) menunjukkan graf peningkatan trend menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak di Pejabat CAP, George Town hari ini

GEORGE TOWN – Kanak-kanak terutama murid sekolah rendah di negeri ini dikatakan ada yang sanggup berkongsi duit poket dengan rakan semata-mahu mahu melepaskan gian membeli hanya satu produk vape atau e-rokok.

Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti Merokok Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, hasil temu bual dengan 30 kanak-kanak termasuk anak gadis mengakui yang mereka berbuat demikian adalah sekadar mengikut trend.

“Jumlah tersebut adalah daripada 50 kanak-kanak yang ditemui pihak kami dan mereka mengakui telah berkongsi wang, cecair serta vape secara beramai-ramai.

“Ada kanak kanak berumur lapan tahun juga mengatakan yang dia dahulunya menghisap rokok kini telah bertukar kepada vape disebabkan tertarik dengan cecair yang dijual dalam perisa buah buahan.

“Tinjauan CAP juga mendedahkan bahawa vape dan e-rokok ini sudah menjadi seperti gula lolipop kepada kanak-kanak terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subbarow memberitahu, CAP merayu Kementerian Kesihatan (KKM) membuat keputusan untuk mengharamkan semua jenis vape dan e-rokok dengan kadar segera.

“Bimbang jika tiada keputusan diambil, lebih ramai lagi kanak-kanak yang akan ketagih dengan vape sehingga memudaratkan kesihatan diri.

“Kerajaan mesti buat keputusan segera untuk mengharamkan vape dan e-rokok sebelum semakin ramai remaja terjebak dengan asap nikotin ini,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, sehingga kini, lebih 20 negara kebanyakannya di Amerika Selatan, timur tengah dan Asia Tenggara telah mengharamkan penjualan produk e-rokok.

“Negara jiran kita iaitu Thailand juga telah mengetatkan undang-undang manakala Australia, Kanada dan Norway telah memperkenalkan banyak sekatan, Malaysia sahaja yang masih memasar luas produk tersebut sehingga hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI