fbpx
NAPOLI mencatat kemenangan kedua selepas membenam Rangers 3-0 pada aksi Kumpulan A awal pagi semalam. – AFP

Napoli selesa cengkam kedudukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW – Ketua Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti memuji anak-anak buahnya untuk terus mencengkam carta Kumpulan A selepas merekodkan kemena­ngan 3-0 ke atas Rangers pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Napoli mempamerkan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan hasil jaringan Matteo Politano, Giacomo Raspadori dan Tanguy Ndombele sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang sama se­perti ketika menewaskan Liverpool 4-1 minggu lalu.

Kata Spalletti, apa yang dipamerkan oleh pasukan ketika ini cukup positif meskipun terpaksa berdepan jadual padat dengan tumpuan yang sama harus diberikan pada kancah Serie A musim ini.

“Saya mahu pasukan tidak mendabik dada dan terus bertenang kerana kita sedang mengharungi jadual padat untuk menumpukan aksi Serie A dan Liga Juara-Juara.

“Bagaimanapun, saya akui ini adalah keputusan yang positif, tetapi Rangers sudah lebih 12 tahun tidak beraksi dalam sai­ngan elit Eropah, tetapi saya tidak mahu pasukan terus terbuai.

“Kita ada baki empat perlawanan dan pemain perlu berusaha untuk mengekalkan kedudukan pendahulu ini,” katanya.

Sementara itu, Raspadori mengakui pengalaman bermain di Stadium Ibrox memberikan perasaan yang luar biasa, tetapi nasib baik barisan pemain kekal fokus dan tidak terpengaruh dengan provokasi penyokong lawan.

“Ibrox adalah salah satu stadium terbaik di Eropah dengan sokongan yang luar biasa. Namun, pemain sedar dengan tanggungjawab untuk mendapatkan tiga mata,” katanya. – AGENSI

POPULAR