fbpx

Surau Al-Jannah kekurangan dana, bina kanopi untuk jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan grafik projek surau baharu Al-Jannah di Seksyen 23, Shah Alam.

SHAH ALAM – Fasa endemik kini menyaksikan pelbagai projek hartanah kembali rancak bagi memenuhi jadual yang disasarkan sekali gus menggalakkan lagi pembangunan industri pembinaan selepas dua tahun terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Dalam kesibukan pemaju membangunkan projek masing-masing, ada juga yang terlepas pandang terhadap pembinaan masjid dan surau di beberapa  daerah dan negeri ekoran masalah kewangan.

Ada projek yang laju progres pembangunannya tetapi ada juga masih terkesan sehingga terpaksa mewar-warkan masalah yang dihadapi kepada umum.

Ia sebagai ikhtiar pihak jawatankuasa projek tersebut untuk meneruskan juga projek rumah Allah  yang berdepan dengan kekangan kewangan yang dihadapi.

Salah satu projek tersebut adalah di Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini yang terkesan akibat masalah kekurangan dana untuk  membesarkan surau sedia ada.

Surau yang dibina pada tahun 2004 itu kini tidak menampung keperluan bilangan jemaah yang semakin bertambah dan mahu menambah baik kemudahan menjadi surau dua tingkat yang lengkap dengan kemudahannya seperti ruang solat,  bilik utiliti, bilik mesyuarat dan  bilik pengurusan jenazah yang akan ditempatkan di bangunan yang baharu. 

Keluasan tapak bangunan baharu itu dijangka dapat menampung lebih 1,000 jemaah dalam satu masa

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah berkata, pihaknya mahu menjadikan surau berkenaan sebagai pusat komuniti setempat untuk penduduk berhampiran.

“Kempen tabung infaq telah dimulakan pada tahun 2018 dan sehingga kini, kami hanya berjaya mengumpul sekitar RM1.6 juta, sedangkan jumlah lengkap kos pembinaan semula surau itu adalah  dalam RM4 juta.

“Jadi pihak kami memerlukan baki RM2.4 juta lagi untuk  mencukupkan jumlah kos keseluruhan. 

“Kami hanya boleh melakukan penyerahan Kebenaran Merancang (KM) membangunkan surau baharu kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) jika jumlah kutipan dana menjangkau 50 peratus iaitu sebanyak RM2 juta.

“Kemudian hanya selepas kelulusan diberikan MBSA dengan melepasi kutipan RM2.8 juta, baru boleh mula kerja fizikal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Arif berkata,  kerja-kerja pembangunan sepatutnya telah bermula Jun tahun lalu. 

Sebagai alternatif kepada masalah tersebut, pihaknya telah menambah enam buah kanopi untuk menampung kehadiran jemaah. 

“Melihat jemaah bersolat di bawah kanopi di bawah tempias terik panas  matahari dan juga terkena hujan ketika solat, ia adalah satu pandangan yang sangat menyedihkan.

“Saya bersungguh-sungguh untuk membina surau baharu ini demi keselesaan dan kesenangan bersama,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI