fbpx

Nora gembira anak gadis warisi bakat seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora berbangga dengan bakat nyanyian yang dikurniakan kepada anaknya, Putri Dahlia.

PETALING JAYA – “Awak memang berbakat. Bakat yang dikurniakan dan dianugerahkan oleh Allah SWT.”

Demikian kata-kata pujian oleh penyanyi Datuk Nora Ariffin terhadap anak perempuannya, Putri Dahlia apabila berkongsi rasa gembira atas bakat seni yang dikurniakan kepada gadis tersebut.

Menurut Nora, dia percaya darah seni yang mengalir dalam tubuh Dahlia adalah bakat yang diwarisi daripada arwah bapanya iaitu komposer terkenal negara, Allahyarham Johan Nawawi selain ‘menumpang’ sedikit bakat daripadanya sebagai seorang penyanyi.

“Putri Dahlia mewarisi bakat daripada ayahnya, arwah Johan Nawawi. Kalau pun ada daripada saya mungkin sedikit sahaja.

“Sebagai ibu, saya tumpang gembira dan sentiasa berdoa agar Putri Dahlia diberikan peluang untuk melangkah lebih jauh dan kekal dengan keunikan tersendiri,” katanya.

Ujar pelantun lagi Dipersimpangan Dilema itu lagi, dia berharap agar Dahlia yang kini berusia 16 tahun boleh menjadi seorang bintang yang bersinar dan percaya serta yakin dengan diri sendiri.

Pada masa sama, Nora turut menitipkan kata-kata nasihat kepada Dahlia tentang kehidupan seorang artis yang akan melalui fasa naik turun dalam kerjaya.

“Lumrah kehidupan. Itu adalah proses sebagai artis ibarat putaran roda. Bila sudah meningkat usia, kita wajar memberi laluan kepada legasi dan generasi baharu untuk terus mewarnai industri,” katanya dalam Instagram.

Tambah Nora, dia sangat bersyukur apabila mampu bertahan selama 30 tahun sejak berkecimpung dalam bidang seni dan dikurniakan pelbagai anugerah dan pengalaman tidak terhingga untuk dikongsikan.

“Alhamdulillah, 30 tahun menjadi anak seni. Saya sudah cukup bersyukur dengan segala anugerah dan pengalaman yang ada dan bersedia untuk berkongsi ilmu.

“Selamat maju jaya sayang. Saya bangga dengan awak,” kata Nora.

Sekadar info, lagu nyanyian Dahlia menerusi lagu Old Love bersama penyanyi Yuji telah mendapat perhatian pendengar yang memuji keunikan suara miliknya.

Lebih membanggakan apabila lagu tersebut menduduki tangga pertama dalam carta Spotify Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI