JOHOR BAHRU – Sikap pengguna yang sering memuat turun aplikasi yang ditawarkan melalui media sosial mendorong lebih ramai menjadi mangsa sindiket penipuan wang atau scammer.
Malah silap pengguna itu sendiri yang mengisi maklumat peribadi dalam aplikasi serta menekan pautan berkenaan lebih memudahkan ‘kerja’ scammer untuk menggodam akaun perbankan peribadi.
Kata sumber polis, kebanyakkan kes yang melibatkan duit dalam akaun simpanan bank hilang adalah berpunca daripada kesilapan pengguna itu sendiri yang disyaki memuat naik aplikasi pintar di media sosial.
“Ramai tertipu tawaran iklan perkhidmatan, jualan barangan serta iklan pekerjaan oleh pihak ketiga di laman sosial.
“Teknologi sekarang semakin hari semakin canggih, pelbagai aplikasi dicipta untuk memudahkan urusan kita. Sebagai contoh, pengguna memuat turun atau menekan pautan aplikasi pintar,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah sumber itu, pengguna akan diminta untuk mengisi maklumat peribadi termasuklah nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan sebagainya.
Menurutnya, scammer dipercayai menggunakan aplikasi yang yang mengandungi sistem Remote Access Trojan (RAT) iaitu sejenis malware yang membenarkan penggodam memantau dan mengawal sistem komputer serta peranti telefon pintar mangsa.
Jelasnya, sistem yang diguna pakai akan membolehkan pihak tidak bertanggung jawab mengawal peranti telefon pintar yang digunakan mangsa seperti kamera, khidmat pesanan ringkas (SMS), storage dan malah melibatkan penggunakan perbankan dalam talian.
“Ketika mangsa memasukkan data peribadi ke pautan ‘borang’ yang dilampirkan sehingga membawa kepada proses pembayaran perbankan online yang disyaki palsu.
“Di sinilah sindiket akan memintas dan memindahkan wang yang ada dalam akaun mangsa ke akaun sindiket sebelum mangsa gagal membuat pembayaran perbankan kerana akaun sudah kosong.
“Mangsa akan menyedari mereka telah ditipu sejurus menyemak perbankan online mereka,” katanya.
Sumber itu berkata, sindiket penipuan dengan cara ini pada kebiasaannya berpangkalan di luar negara bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa malah di dalam negara mereka akan berpindah-randah markas operasi mereka.














