fbpx

PM umum kenaikan Elaun Sara Hidup pelajar tajaan Mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapsyen - Ismail Sabri diiringi Mahdzir melambai kearah para pelajar selepas program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Institut Jerman-Malaysia (GMI) di sini, hari ini. - FOTO FARIZ RUSADIO

BANGI – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Elaun Sara Hidup (ESH) yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pelajar di dalam dan luar negara diselaraskan mengikut kos sara hidup semasa.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

“Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

“Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan Mara ini akan melibatkan seramai 62,998 orang dan akan berkuat kuasa bermula bulan ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta lebih 3,000 pelajar tajaan Mara secara fizikal termasuk yang berada di luar negara secara online.

Menurut Perdana Menteri, tinjauan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)-Mara ‘Special Operation’ pada Februari lalu dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh mendapati lebih 60 peratus pelajar tajaan Mara dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

“Purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah kira-kira £500 (RM2,733) hingga £730 (RM3,990) iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

“Sehubungan itu, para pelajar terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemah melalui pemotongan bajet dengan cara mengikat perut, mendapatkan tempat tinggal yang jauh daripada universiti, termasuk bekerja secara sambilan bagi menampung keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata, elaun sara hidup pelajar Mara dan JPA seperti di London ketika ini ialah sebanyak £1,045 (RM5,712) jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan Britain iaitu sebanyak £1,312 (RM7,172) setakat bulan September 2021.

“Kenaikan kadar ini membuktikan kerajaan dan MARA begitu prihatin serta serius dalam agenda pemerkasaan Bumiputera, terutamanya pelajar yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara.

“Kita harapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia dapat merancang dan menguruskan sebaiknya ESH ini supaya aspek pembelajaran mereka berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI