MILAN – Bayern Munich menepati status antara pencabar kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini apabila menundukkan jaguh Serie A dari Itali, Inter Milan 2-0 di San Siro awal pagi semalam.
Pengurus Bayern, Julian Nagelsmann memberikan penghargaan tinggi kepada anak-anak buahnya kerana berjaya melepasi halangan pertama dalam saingan kumpulan maut tersebut.
“Saya sangat gembira dengan persembahan hari ini (awal pagi semalam). Kami mempunyai ramai pemain yang fleksibel di hadapan dan dapat bergabung dengan sangat baik.
“Kami beri ruang kepada lawan dalam sepuluh minit pertama setiap separuh masa. Namun, secara keseluruhan kami layak untuk menang.
“Ia sentiasa bagus untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Sudah tentu masih ada ruang untuk penambahbaikan dan detik-detik yang mana kami boleh melakukannya dengan lebih baik,” katanya.
The Bavarians membuka tirai jaringan menerusi Leroy Sane pada minit ke-25 sebelum pemain pertahanan Inter, Danilo D’Ambrosio menjaringkan gol sendiri pada babak kedua.
Bayern ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan C, tiga mata sama dengan jaguh Sepanyol, Barcelona yang mencuri perhatian menerusi kemenangan besar 5-1 ke atas Viktoria Plzen awal pagi semalam.
Bayern akan menanti kunjungan Barcelona yang kini diperkuatkan dengan bekas penyerang sensasi pasukan itu, Robert Lewandowski untuk aksi kedua di Allianz Arena minggu depan.
Barcelona tidak pernah menang ke atas Bayern pada empat pertemuan terakhir, selain pernah diaibkan dengan kekalahan 2-8 ke atas gergasi Bundesliga itu.
– AGENSI














