fbpx

Tiada aktiviti lumba haram dalam skala besar dikesan di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aktiviti lumba haram paling digemari mat rempit kerana ia melibatkan wang pertaruhan yang boleh digunakan untuk membeli atau mengubah suai motosikal. – Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mendapati tiada lagi sebarang aktiviti penganjuran lumba haram dalam skala besar dianjurkan oleh mana-mana pihak selepas kejadian kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu yang meragut lima nyawa pada 17 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selepas kejadian kemalangan itu, pihak polis dan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengekang aktiviti lumba haram.

”Pihak kami sentiasa memantau perkembangan melibatkan kegiatan lumba haram, kita tidak terima maklumat berlakunya perlumbaan haram yang besar.

“Ada dua tiga kes ditahan, tetapi ia lebih kepada tunjukkan aksi berani seperti ala superman, kita tidak akan kompromi dan polis akan minta reman bagi pelaku kegiatan rempit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini yang mana polis percaya kejadian itu akibat kegiatan lumba haram.

Menurut Mohd. Shuhaily, pihak polis juga akan memanggil satu mesyuarat dengan pelbagai agensi bagi memperhalusi semua strategi bagi menangani kegiatan lumba haram di negeri ini.

“Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak ada memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan dijadikan negeri model bagi penguatkuasaan mengekang aktiviti lumba haram.

”Mesyuarat bersepadu ini akan dijalankan minggu depan dan kita akan maklumkan hasil mesyuarat menerusi satu sidang akhbar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran program The 26th World Congress On Innovation and Technology 2022 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 September depan.

”Lokasi yang terlibat bagi penganjuran program ini adalah Pusat Konvensyen Setia Spice, Hotel Eastern and Oriental serta Padang Kota Lama dan dijangka 4,000 delegasi akan menyertai program ini. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI