IPOH – Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia di kawasan Taman Rapat Setia Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek berusia 34 dan 38 tahun itu diberkas semalam di sebuah restoran di Bercham sekitar pukul 1 pagi.
Katanya, tangkapan dibuat susulan video tular yang memaparkan tindakan dua individu dalam keadaan mencurigakan membuka ‘distribution box’ milik TM berhampiran sebuah rumah di kawasan berkenaan.
‘Hasil siasatan mendapati tiada kehilangan kabel dilaporkan, namun terdapat kesan cubaan membuka dan menggeledah kotak berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod kes jenayah dan tujuh rekod kes dadah, manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod kes jenayah.
Katanya, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona berwarna merah dan beberapa barangan lain bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














