KOTA TINGGI – “Saya sudah pesan jangan mandi, jika dia hendak mandi juga baik tak payah pergi pantai,” kata Radiah Rahmad, 42, ibu kepada Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, mangsa lemas di Pantai Tanjung Balau di sini semalam.
Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, anak keenamnya telah meminta izin untuk ke pantai bersama rakan-rakan sekolahnya yang turut ditemani ibu rakannya itu.
Katanya, dia memberi izin kepada Nurish Qhalisya kerana anaknya itu berjanji tidak akan mandi dan sekadar mahu berjalan serta mengambil gambar sahaja.
“Masa dia minta izin malam tadi (kelmarin) saya cakap tak payah pergi. Tetapi dia cakap sudah lama tidak keluar rumah dan dia bosan.
“Saya cakap kalau hendak ambil gambar okey boleh pergi. Dia juga beritahu pergi dengan enam kawannya bersama ibu salah seorang daripada mereka,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Balau semalam.

Bagaimanapun katanya, kira-kira pukul 8 pagi mesej di WhatsApp masuk bertalu-talu memaklumkan kejadian lemas itu sebelum ibu kepada rakan anaknya itu memberitahu mengenai Nurish Qhalisya.
“Macam tak percaya bila dapat berita lemas itu. Biasa ke pantai dia tak akan mandi kami semua tidak akan mandi.
Berita berkaitan: Mayat remaja lemas ditemui tersangkut celah batu
“Pagi tadi saya kejut dia pukul 5 pagi. Masa dia hendak pergi dia tak ada jumpa saya. Saya pelik juga tetapi masa itu dia macam kelam kabut sedikit asyik keluar masuk rumah sahaja.
“Kemudian ayahnya yang hantar dia ke rumah rakannya di Felda Sungai Mas pada pukul 7.30,” katanya yang menyewa di Kampung Baru Sungai Mas di sini.
Radiah berkata, Nurish Qhalisya seorang anak yang periang dan amat disukai ramai orang kerana sikapnya itu.

Katanya, anaknya itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 22 September ini ada meminta hadiah darinya ketika meminta izin untuk ke pantai tersebut.
“Paling sedih hari ini (semalam) merupakan hari jadi saya. Kami sama bulan. Sedih sangat, saya akan ingat (kejadian ini) sampai saya mati,” ujarnya.
Terdahulu Nurish Qhalisya dilaporkan hilang manakala dua lagi rakannya kritikal serta tiga selamat dalam kejadian lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.
Dua rakan Nurish Qhalisya yang kritikal adalah Mohd. Ashraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, dan kakaknya, Nur Azrin Syazwani, 14.
Tiga yang selamat Siti Alesya Qistina Mustafa, 13, Siti Alysya Abdullah, 13, dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari, 13.














