fbpx

Betis berparut terkena air liur komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustafa menunjukkan pingat yang diperoleh semasa bertugas sebagai anggota tentera ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Nering, Machang, Kelantan baru-baru ini. – ROHANA MOHD.. NAWI

MACHANG – Betis seorang bekas anggota tentera berparut selepas terkena air liur komunis yang terkorban dalam pertempuran di Hutan Mancis, Negeri Sembilan pada 1956.
Mustafa Othman, 86, berkata, sewaktu kejadian, dia bertugas dalam Pasukan 6, Rejimen Askar Melayu di Kem Mentakab, Pahang.

Semasa bertugas, warga emas itu menembak mati seorang komunis dipercayai berketurunan Jawa.

“Askar Melayu me­nyerbu kawasan hutan itu selepas mendapat laporan ada kumpulan komunis mengutip wang daripada penduduk kampung.

“Semasa bertempur, saya menembak salah seorang daripada mereka, manakala yang lain melarikan diri. Saya pergi ke arah komunis yang tertiarap itu dan mengalihkan mayatnya menggunakan kaki.

Sewaktu kejadian, air liurnya terkena betis saya menyebabkan bahagian itu pedih dan sakit,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Nering di sini baru-baru ini.

Mustafa memberitahu, kesa­kitan pada bahagian itu berlarutan selama berapa bulan dan mening­galkan parut.

Jelasnya, sehingga kini peristiwa itu masih menghantuinya meskipun negara sudah lama merdeka dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota tentera.

“Sepanjang menyertai operasi di hutan, saya berjaya menembak tujuh komunis pada tahun 1955 sehingga 1976.

“Ketika itu, Kem Mentakab kerap menyertai operasi terma­suk di Hutan Mancis, Batang Berjuntai (Selangor) dan Janda Baik (Pahang). Platun saya diketuai pegawai berpangkat mejar serta dua sarjan dan koperal.

“Saya bernasib baik kerana terselamat meskipun pernah ditembak komunis. Ada rakan-rakan yang menganggap saya mempunyai ilmu kebal kerana tidak pernah menjadi sasaran sepanjang menyertai operasi di hutan,” katanya.

Tambah Mustafa, ketika bertugas, dia menerima gaji seba­nyak RM88 sebulan dan hanya dibekalkan roti serta air sepanjang operasi tersebut.

Sepanjang berkhidmat de­ngan pasukan tentera, warga emas itu mendapat beberapa pingat keberanian yang disimpan rapi sehingga sekarang sebagai kenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI