fbpx

Penguat kuasa agensi agama perlu ada uniform tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS (tengah) ketika merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022 di Hotel Bangi Resort hari ini.

PUTRAJAYA – Pegawai dan anggota penguat kuasa agensi agama di seluruh negara disyorkan mempunyai pakaian seragam tersendiri sebagai identiti dan imej pasukan ketika bertugas.

Saranan tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebagai salah satu daripada usaha ke arah transformasi pihak penguatkuasaan Islam di negara ini.

“Saya mengesyorkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan garis panduan pemakaian uniform dengan dibiayai oleh majlis agama Islam negeri masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Tahun 2022 di Hotel Bangi Resort, dekat sini hari ini.

Pada acara tersebut, Idris telah melancarkan buku Model Prosedur Operasi Standard Mengiringi Orang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan untuk agensi penguatkuasaan agama.

Mengulas lanjut, Idris berkata, ketika ini penguat kuasa terbabit sekadar dibekalkan baju jaket jabatan agama Islam negeri yang mungkin tidak tepat menggambarkan kerja sebenar mereka.

“Pakaian seragam baharu seperti agensi penguatkuasaan tempatan yang lain sewajarnya ada setelah mereka dilantik bertugas tertakluk atas Majlis Agama Islam negeri tersebut,” katanya.

Beliau turut bersetuju bahawa pemakaian uniform berkenaan merupakan jati diri dan citra kepada pegawai itu selain lambang kekuatan dan disiplin menguatkuasakan perundangan.

Pada masa sama, beliau meminta Jakim untuk segera melihat dengan lebih dekat berkaitan keperluan tugasan dan kebajikan penguat kuasan syariah yang penuh dengan cabaran berat.

Ini ujar beliau, termasuklah pertimbangan dalam aspek pemangkuan dan kenaikan pangkat di pelbagai gred sebagai usaha memartabatkan lagi institusi pendakwaan syariah di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI