fbpx

Kertas siasatan Najib, Rosmah dilengkap dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi ketika sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini./ FOTO WAN REDZA

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kertas siasatan membabitkan kes kebocoran keputusan penghakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diserahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya (TPR) pada 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ia dikembalikan semula berikutan TPR mahu polis melengkapkan beberapa perkara.

“Kita akan melengkapkan kertas itu secepat mungkin dan sekiranya wujud keperluan kemungkinan keterangan kesemua saksi sebelum ini akan diambil semula.

“Sebanyak 27 saksi telah diambil keterangan setakat ini iaitu 17 individu membabitkan kebocoran keputusan penghakiman Najib dan sepuluh lagi membabitkan Rosmah,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, siasatan yang dilakukan kali ini akan diberi fokus terhadap tindakan-tindakan yang dinasihatkan oleh TPR kepada polis.

“Kita akan lengkapkan kedua-dua kertas siasatan berkenaan dan rujuk semula dalam masa terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, antara saksi yang telah diambil keterangan iaitu pegawai mahkamah untuk membantu siasatan ke atas dakwaan ‘draf penghakiman’ bocor mengenai kes rasuah Rosmah.

Kenyataan itu diambil daripada kakitangan bahagian penyelidikan mahkamah dan Hakim Zaini Mazlan, yang mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, semalam, membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Dalam pada itu, jelas Azmi, kertas siasatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad telah hampir dilengkapkan.

“Sebaik kertas siasatan itu dilengkapkan ia akan dirujuk kepada TPR minggu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI