fbpx

Mahkamah: Pendakwaan terhadap Abdul Azeez tidak berniat jahat, penganiayaan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini berpendirian bahawa pendakwaan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bukan dilakukan atas niat jahat, salah guna kuasa atau satu penganiayaan politik.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said berpendapat, tidak berlaku salah laksana keadilan terhadap Ahli Parlimen Baling itu kerana pertuduhan yang dikemukakan berasas dan tidak cacat.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan, pendakwa raya mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk melakukan pendakwaan.

“Ramai yang tidak menghargai kuasa yang diberikan kepada pendakwa raya dan dalam rayuan ini, tidak ditunjukkan pendakwa telah menyalahguna kuasa ketika mendakwa Abdul Azeez,” ujar Hakim Abu Bakar ketika menyampaikan keputusan rayuan itu.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram dan mengekalkan enam yang lain serta tiga pertuduhan rasuah.

Panel itu berpendapat, Abdul Azeez perlu menghadapi baki sembilan pertuduhan dan hakim bicara akan menentukan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes atau sebaliknya.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan turut diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjawab empat representasi yang dikemukakan oleh Abdul Azeez untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad selaku responden memaklumkan, pihak pendakwaan tidak menerima sebarang arahan untuk memberi maklum balas terhadap representasi berkenaan walaupun kertas siasatan dan minit telah ditaklimatkan kepada Peguam Negara.

Ujar Aslinda, kertas siasatan dan minit berkenaan diterima daripada pengarah kanan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pihaknya hanya menerima arahan agar hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan yang telah dijadualkan untuk diumumkan hari ini.

“Kami hanya terima daripada SPRM pada 2 September lalu dan perkara ini telah diangkat kepada Peguam Negara, tiada sebarang arahan untuk menjawab representasi,” ujarnya.

Aslinda memaklumkan demikian ketika ditanya perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Baling itu dalam prosiding rayuan bagi membatalkan 13 pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu Hakim Kamaludin mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi maklum balas terhadap representasi.

Panel itu kemudian menyampaikan keputusan selepas merekodkan bahawa `status quo’ representasi kekal tidak dijawab.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI