fbpx

KLIA bakal dilengkapi Aerotrain baharu 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry Abd. Kadir (kiri) bersama Iskandar Mizal ketika sidang akhbar perkembangan semasa Program Penggantian Aerotrain KLIA di sini, hari ini. - FOTO : FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Setelah hampir 25 tahun beroperasi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dijangka beralih kepada sistem Aerotrain paling baharu menjelang 2025 bagi menggantikan perkhidmatan sedia ada.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, fasa pertama peralihan sistem pengangkutan itu telah bermula 14 Mac lalu dengan melibatkan proses reka bentuk tren.

“Kita bukan sekadar ganti gerabak lama yang digunakan sejak 1998, malah seluruh sistem perkhidmatan itu dengan pemasangan fasa kedua dijangka bermula pada 14 Mac 2023,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Terdahulu, beliau membentangkan perkembangan terkini Program Penggantian Aerotrain KLIA yang turut dihadiri Pengerusi MAHB, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.

Mengulas lanjut, Iskandar Mizal berkata, kelewatan tren baharu berkenaan bukan disengajakan pihaknya tetapi telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk perlu memenuhi spesifikasi pelbagai agensi.

“Kita tidak mahu ganti tren yang kemudian asyik rosak seperti sekarang hingga terpaksa beroperasi dengan jadual terhad selama 17 jam setiap hari disebabkan faktor usia sudah tua.

“MAHB juga terpaksa memaksimumkan perkhidmatan bas ulang alik yang berfungsi 24 jam setiap hari melibatkan sembilan buah sebagai mod pengangkutan alternatif,” jelasnya.

Bagaimanapun ujarnya, MAHB berbangga kerana tren sekarang berjaya mengangkut lebih 300 juta penumpang selepas 24 tahun beroperasi dan turut terkenal sebagai imej unik KLIA.

“Jadi, kami optimis penggantian Penggerak Penumpang Automatik (APM) atau Aerotrain baharu akan melonjakkan keupayaan pergerakan penumpang antarabangsa di KLIA sejajar tarafnya sebagai hab udara utama negara,” katanya.

MAHB menerusi pengumuman sebelum ini mengesahkan bahawa Pestech International Berhad meraih tender APM baharu daripada model Innovia 300 dengan muatan penuh 270 penumpang.

Projek bernilai lebih RM700 juta dengan rekaan mesra pengguna akan beroperasi 24 jam setiap hari selain dilengkapi pakej penyelenggaraan operasi selama 10 tahun sehingga 2034. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI