BARU-BARU ini, syarikat PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah diumumkan sebagai pengedar rasmi bagi kenderaan jenama Audi di negara ini.
Syarikat milik penuh Porsche Holding Salzburg (PHS) yang merupakan pakar automotif dari Eropah itu akan menjual serta mengendalikan khidmat selepas jualan Audi di Malaysia.
Pada edisi Garaj kali ini, penulis diberi peluang memandu uji salah satu model yang dibawa masuk iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) Q3.
Generasi kedua Q3 ini sebenarnya telah diperkenalkan pada tahun 2018 di peringkat global.
Dengan rekaan terbaharu Q3, model ini bersaing dengan Lexus NX, Volvo XC40 dan Mercedes Benz GLA200 dalam kelompok SUV kompak premium.
Untuk pengetahuan, model ini terbahagi kepada dua varian iaitu Q3 dan Q3 Sportback.

Bersama saya ialah varian Q3 yang menggunakan enjin 1.4 liter turbo dengan transmisi enam kelajuan S-Tronic.
Kombinasi enjin dan transmisi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 150PS pada 5,000 hingga 6,000rpm dan tork tertinggi 250Nm pada 1,500 hingga 3,500rpm.
Penulis dimaklumkan, kelajuan maksimumnya sekitar 207 kilometer sejam (km/j) dan kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j adalah dalam masa 8.9 saat.
Kombinasi penggunaan petrol untuk SUV pacuan dua roda ini adalah 7.2 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km) dengan tangki petrol bersaiz 58 liter.
Model generasi terbaharu ini kelihatan lebih sporty berbanding sebelumnya kerana bahagian hadapannya berkarakter lebih maskulin dengan reka bentuk oktagon.
Lampu hadapan jenis diod pemancar cahaya (LED) dengan rekaan unik menguatkan lagi karakter maskulinnya secara lebih matang.
Pada bahagian sisi, terdapat grafik pencahayaan simetri lampu depan dan belakang. Garis bahu menghubungkannya pada perspektif penggayaan dan memberikan kesan keseluruhan atas ruang roda.
Reka bentuknya menggunakan inspirasi DNA quattro Audi, sekali gus menjadikan SUV itu kelihatan lebih luas.

Penggunaan tona warna berbeza pada trim gerbang roda dapat menekankan rupa offroad. Audi Q3 menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci dan dipadankan dengan tayar 235/55.
Bahagian belakangnya pula menggunakan kombinasi lampu LED dengan rekaan unik. Model ini sebenarnya lebih panjang dengan ukuran 4,485 milimeter (mm) iaitu lebih 97mm daripada generasi sebelumnya.
Ruang but belakangnya bersaiz 530 liter dan boleh dibuka dengan hanya menekan butang secara elektronik dari luar.
Mahu ruang lebih luas, boleh merebahkan tempat duduk belakang dan dapat ruang keseluruhan 1,525 liter. Ruang simpanan belakang juga boleh direndahkan lagi untuk mendapatkan ruang yang maksimum.
Masuk ke ruang kabin, apa yang saya lihat, konsep dan paparan SUV ini telah dirombak dengan teknologi baharu seperti sistem infotainment, unit kawalan pendingin hawa dan panel meter.
Walaupun dengan radio standard, terdapat kluster instrumen digital dengan pepenjuru skrin 10.25 inci yang boleh dikendalikan pemandu menerusi penggunaan stereng pelbagai fungsi.
Sistem infotainment juga boleh disambung terus dengan Apple CarPlay dan Android Auto menggunakan Audi Smartphone Interface.

Papan pemukanya juga berbeza dengan generasi terdahulu yang menggunakan skrin atas, manakala model ini di bahagian tengah dan kelihatan lebih moden.
Butang-butang kawalan yang terletak di bawah skrin pula memberikan imej sporty pada SUV kompak ini.
Tempat duduk kulitnya juga boleh dikawal secara elektronik bagi memudahkan pemandu dan penumpang hadapan.
Butang kawalan audio jenis butang turut menaikkan lagi imej premium dengan butang penghidup enjin terletak di sebelahnya.
Kesimpulannyanya, model ini mungkin menjadi pilihan sekiranya mahu mencari sebuah SUV kompak ringkas, pada masa sama memberikan satu imej tersendiri.
Bagi jenama premium, sudah pasti harga ditawarkan bukan murah, tetapi dengan harga ditawarkan dan pengalaman pemanduan tersendiri, model ini ‘boleh dijual’ di negara ini.














