fbpx

Agong titah semangat perpaduan Hari Merdeka diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong semasa majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka baru-baru ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semangat perpaduan, kenegaraan (patriotisme) dan cintakan negara yang telah dipamer oleh rakyat pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini sangat membanggakan dan perlu diteruskan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan sambutan Hari Kebangsaan yang telah berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu dengan kehadiran melebihi jangkaan 50,000 orang.

“Justeru itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada rakyat yang telah datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar untuk menyertai dan secara berdisiplin menonton sambutan hari yang bersejarah itu.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga semangat-semangat tersebut yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara ini memperkukuhkan lagi keharmonian negara,” ujarnya hari ini.

Menurut beliau, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat tersebut dipamer dan diteruskan dalam memperingati dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September tidak lama lagi.

Pada masa sama, jelas Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, kesemua peserta dan penganjur, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Annuar Musa di atas kejayaan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah disempurnakan dengan rapi dan cemerlang.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda amat kagum menyaksikan persembahan yang telah dipamer oleh semua kontinjen agensi-agensi kerajaan dan pelajar sekolah yang telah mengambil bahagian pada majlis tersebut.

“Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamer oleh mereka, khususnya pelajar sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI