fbpx

27 peratus kawasan terima liputan 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

SHAH ALAM – Liputan capaian internet berkelajuan tinggi 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara kini sudah mencapai tahap 27 peratus serta telah meliputi capaian yang sudah mencecah 250,000 pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menduduki tangga pertama di dunia bagi kelajuan muat naik 5G iaitu 50.3 megabit sesaat (Mbps) dan kedua bagi kelajuan muat turun iaitu 382.2 Mbps berdasarkan laporan OpenSignal pada 22 Jun lalu.

Kata beliau, kerajaan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 (2023-2025) akan terus meluaskan akses perkhidmatan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara.

“Akses itu meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G dan meluaskan liputan jalur lebar mudah alih kepada 100 peratus kawasan berpenduduk.

“Kemajuan teknologi masa kini meningkatkan penggunaan peranti media dalam setiap aspek terutama bidang pendidikan yang menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih lancar, sistematik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merlancarkan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, petang tadi.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Pada program fasa pertana itu, seramai 523 mahasiswa dalam kumpulan keluarga B40 dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menerima peranti berupa tablet jenis Samsung Galaxy.

Jelas Ismail Sabri, liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk mencapai 95.7 peratus daripada sasaran Jendela Fasa Satu (2020- 2022) iaitu 96.9 peratus setakat suku pertama tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian terus peranti berkenaan kepada mahasiswa tanpa melaksanakan Konsep Guna Pakai (KGP).

“Ia dianggap sebagai penghargaan dan diharap menjadi pemangkin kepada untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang.

“Selain itu, kita mahu memastikan lebih ramai pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, pemberian peranti itu selaras peruntukan RM450 juta menerusi Belanjawan 2022 tahun lalu dalam memastikan proses pengajian B40 terus terpelihara.

Agihan fasa kedua dijangka pada Oktober atau November depan berikutan permohonan bagi fasa itu sedang dibuka mulai 1 Ogos lalu hingga 30 September ini.

Pembekalan peranti itu dilakukan lima syarikat terpilih melalui tender terbuka mengikut zon merangkumi Sabah dan Sarawak, utara, tengah dan selatan Semenanjung.

Penerima Peranti Siswa bagi Fasa 1 terdiri daripada mahasiswa dalam kalangan keluarga B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM4,850 ke bawah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI