PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan ujian kelajuan serta kualiti liputan rangkaian 4G dan 5G sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor.
Ujian tersebut turut disertai Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan dijalankan dengan kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih bagi menilai prestasi liputan secara masa nyata.
Menurut MCMC, pelaksanaan ujian itu merentasi beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Pengukuran melibatkan beberapa parameter teknikal seperti kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan serta kesinambungan liputan sepanjang laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, dapatan awal menunjukkan liputan rangkaian 5G kini mencapai 71 peratus kawasan, namun masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan penambahbaikan.
Sehubungan itu, MCMC akan terus memperkukuh pemantauan selain bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan jurang liputan dapat ditangani secara berkesan.
Langkah itu penting bagi memenuhi keperluan rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi yang lebih mampan dan berdaya tahan, khususnya di sepanjang koridor pengangkutan utama negara. – KOSMO! ONLINE














