fbpx

Rosmah dihukum penjara 10 tahun, denda RM970 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah, 71, selepas mendapati isteri bekas Perdana Menteri tersebut bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI