fbpx

AIM23 saksi lonjakan kreativiti era pandemik, Dayang dominasi pencalonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi Dayang Nurfaizah mendominasi enam pencalonan dalam empat kategori di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 11 September depan.

Dayang dicalonkan bagi kategori utama iaitu Rakaman Album Terbaik (Belagu) serta Rakaman Album Terbaik menerusi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi.

Album Belagu juga berada disenarai finalis Kulit Single/Album Terbaik serta Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi.

Penghibur bervokal gemersik itu diekori rapat penyanyi, Ernie Zakri dan Yonnyboii yang menyerlah dengan empat pencalonan.

Ernie bersaing untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Sinar Mata Hati) selain dua kategori dalam Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama suaminya, Syamel bagi lagu Goodbye Hello dan Berakhirlah Pencarianku duet bersama Hafiz Suip.

Yonnyboii pula dicalonkan untuk kategori Rakaman Album Terbaik (Deluxe Version), selain dua pencalonan dalam kategori Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik (Tak Sangka & Orang Lain), serta Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version).

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang juga Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, penganjuran edisi kali ini meraih 650 penyertaan, namun hanya 105 disenarai pendek bagi 21 kategori dipertandingkan.

“Tahun ini RIM menerima jumlah penyertaan memberangsangkan apabila meraih 650 penyertaan untuk karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Jan 2021 sehingga 30 Jun 2022.

“Jumlah penyertaan edisi kali ini membuktikan industri muzik tempatan tetap berada dalam keadaan baik selepas fasa pandemik,” katanya.

Rosmin berkata demikian pada sidang media pengumuman senarai finalis AIM23 yang diadakan di Dadi Cinema, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Rosmin memaklumkan seramai 113 juri terbabit dalam penilaian calon dengan setiap kategori diadili antara tujuh hingga 10 pakar dalam bidang masing-masing.

Juri terdiri daripada Maestro Muzik, Datuk Mokhzani Ismail merangkap ketua juri, selain antaranya Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Fauzi Markuzi, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu dan Noryn Aziz.

Katanya, proses penjurian dilakukan secara terperinci dan tiada unsur pilih kasih malah andai juri mempunyai kepentingan dalam sesebuah kategori, mereka tidak akan dibenarkan duduk di kerusi berkenaan.

“Memilih juri serta pakar dalam bidang masing-masing juga antara keutamaan jawatankuasa bagi memastikan segala-galanya telus, begitu juga dengan kelancaran penilaian.

“Bagi penilaian kategori utama iaitu Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, ia dilaksanakan pada 12 Ogos disusuli penjurian kategori lain yang berlangsung pada 15,16 dan 24 Ogos lalu,” katanya.

Rosmin turut mengumumkan jawatankuasa AIM23 sebulat suara menggugurkan dua kategori berikutan kekurangan penyertaan serta tidak menepati kriteria pertandingan.

“Dua kategori yang digugurkan ialah Lagu Dangdut apabila hanya menerima dua penyertaan, sedangkan untuk bertanding perlu sekurang-kurangnya membariskan lima pesaing.

“Manakala kategori Lagu India Tempatan Terbaik juga menerima nasib sama kerana ada lagu yang dirakamkan di luar negara sekaligus tidak menepati syarat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI