fbpx

‘Dua sakit jantung, sorang derita saraf’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL WAHIDA menunjukkan kesan pembedahan pada dada Nurul Aishah bersama Nurul Shafiera (kanan) dan Nurul Syafinaz di hadapan rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Berat dugaan yang menimpa sepasang suami isteri Mohd. Nazrul Mat Zain, 42, dan Nurul Wahida Kamarudin, 38, apabila tiga anak mereka disahkan menghidapi komplikasi jantung dan saraf.

Selain terbeban dengan kos rawatan anak, pasangan yang mempunyai lima anak berusia satu hingga 16 tahun itu juga tinggal di sebuah rumah sempit yang tidak siap dan tanpa bilik di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.

Nurul Wahida memberitahu, anak bongsunya, Nurul Aishah, 1, sudah menjalani dua kali pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur kerana pe­nyakit jantung berlubang pada 29 Jun dan 6 Julai lalu.

“Selama 20 hari dirawat di IJN, kini keadaan kesihatannya masih terganggu dan kerap menangis. Terbaharu dia (Nurul Aishah) terkena jangkitan kuman pada hidungnya.

“Anak ketiga kami Nurul Shafiera, 11, juga mengalami masalah jantung dan telah menjalani pembedahan dua kali tahun lalu,” katanya baru-baru ini.

Belum reda dengan kisah dua anak berkenaan, Nurul Wahida memberitahu, mereka diuji lagi apabila anak keduanya, Nurul Syafinaz, 14, pula diserang pe­nyakit saraf dengan jari telunjuk di tangan kiri membengkak me­ngakibatkan sakit di bahagian tangan dan lengan kiri serta belakang badan.

“Kami masih menunggu panggilan daripada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan Nurul Syafinaz dan kini dia tidak boleh menggerakkan jari telunjuk serta mengangkat tangan dan lengan kiri sehingga mengganggu pelajarannya di sekolah.

“Dia (Nurul Syafinaz) kini menanggung kesakitan selain sukar untuk tidur kerana tidak boleh berbaring,” luahnya.

Nurul Wahida memberitahu, dia terpaksa menyediakan RM1,200 sebulan untuk susu khas bagi dua anak yang sakit jantung dan RM1,000 untuk bayaran sewa kereta serta per­belanjaan harian.

“Kami memerlukan hampir RM2,500 sebulan untuk keperluan kebajikan anak yang sakit termasuk persekolahan dan ke­perluan barang dapur dan jumlah berkenaan tidak termasuk kos rawatan serta pengangkutan ulang-alik ke IJN.

“Suami terpaska bekerja keras dengan mengambil upah di ladang sawit dan ternak kam­bing untuk memperoleh pendapatan yang lebih demi rawatan anak-anak dan belanja keluarga,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, de­ngan pendapatan antara RM600 hingga RM900 sebulan yang diterima suaminya, anak-anak mereka terpaksa tinggal di dalam rumah tanpa bilik serta bilik air yang dibina atas tanah milik keluarga.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Wahida di talian 013-7154171 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI